Kejayaan UPM tidak perlu dipertikaikan - MQA - Utusan Malaysia

Kejayaan UPM tidak perlu dipertikaikan – MQA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bilangan graduan ijazah kedoktoran (PhD) dihasilkan Universiti Putra Malaysia (UPM) bukanlah indikator yang wajar dipertikaikan kerana kualiti programnya dipantau Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof. Datuk Mohammad Shatar Sabran berkata, sebagai sebuah universiti penyelidikan, program akademik di UPM dinilai biarpun mempunyai status swaakreditasi daripada pihaknya.

Beliau berkata, program ditawarkan UPM diperakui kualitinya yang mana terbukti mampu meletakkan universiti berteraskan pertanian itu dalam kelompok 150 universiti terbaik dunia berdasarkan QS World University Ranking 2022.

Katanya, apabila penilaian dibuat badan penarafan universiti antarabangsa, mereka akan melihat segenap aspek termasuk pelajar PhD yang dihasilkan sesebuah institusi pengajian tinggi (IPT).

“Jadi, sekiranya bilangan graduan PhD menjadi tanya tanya, UPM tidak akan berada pada kedudukan yang baik dalam penarafan universiti dunia. Selain itu, mereka yang pernah melalui proses pengajian di peringkat PhD pastinya tahu untuk memiliki ijazah kedoktoran bukanlah perkara mudah, lebih-lebih lagi dikeluarkan antara universiti terbaik negara yang amat menitikberatkan hal kualiti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas ada pihak mempertikaikan bilangan graduan PhD dikeluarkan UPM yang dikatakan ‘terlalu luar biasa’ pada Majlis Konvokesyen ke-44 universiti itu, baru-baru ini.

Mohammad Shatar berkata, jumlah graduan bukanlah satu ukuran yang mencerminkan kualiti kerana bilangan pelajar yang mengikuti program pengajian PhD di sesebuah universiti juga perlu dilihat.

Di MQA katanya, pihaknya mempunyai keyakinan yang tinggi dengan kualiti graduan dikeluarkan UPM bukan sahaja untuk PhD, malah di semua peringkat pengajian.

“Sebagai agensi yang memantau jaminan kualiti pengajian tinggi di negara ini, MQA akan terus memastikan program ditawarkan IPT tempatan mencapai piawaian ditetapkan. Penerimaan jaminan kualiti itu bukan hanya untuk dalam negara, tetapi juga di peringkat antarabangsa kerana MQA ialah agensi jaminan kualiti yang dihormati oleh badan akreditasi global,” katanya.

Utusan Online semalam melaporkan Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat UPM memaklumkan kaedah pengajian PhD di UPM melebihi syarat minimum ditetapkan MQA dalam usaha memastikan kualiti graduan dihasilkan di tahap terbaik.

Justeru, kenyataan dikeluarkan Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin adalah mengelirukan dan tidak tepat apabila mempertikaikan tindakan UPM menganugerahkan 398 PhD tahun ini yang menimbulkan tanda tanya kerana jumlah itu dilihat terlalu luar biasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN