Kebolehpasaran graduan mampu popularkan universiti - Utusan Malaysia

Kebolehpasaran graduan mampu popularkan universiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kebolehpasaran graduan kini menjadi antara elemen signifikan kepada pelajar dalam memilih institusi pengajian tinggi (IPT) untuk menyambung pelajaran selain faktor penarafan universiti. 

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, kebolehpasaran graduan berkemungkinan besar akan menjadi kriteria baharu penilaian universiti di dunia.

Katanya, menurut kajian dijalankan pada Ogos tahun lalu oleh institusi pendidikan terkemuka membabitkan 1,200 pelajar generasi Z (Gen Z) dari 93 buah negara, golongan itu memberi penekanan sangat kritikal kepada sejauh mana sesebuah universiti mampu melahirkan graduan yang diterima bekerja oleh majikan sejurus tamat pengajian.

Beliau berharap universiti tempatan menonjolkan elemen kebolehpasaran graduan mereka sebagai satu daripada daya tarikan baharu untuk kemasukan pelajar tempatan dan antarabangsa.

“Kaedah ini juga akan membantu mencapai hasrat Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dalam usaha menarik 250,000 pelajar antarabangsa ke negara ini menjelang tahun 2025.

“Pada masa sama, ia bagus untuk meningkatkan daya saing dalam kalangan lepasan universiti tempatan apabila elemen kebolehpasaran graduan menjadi satu daripada aspek yang diberi keutamaan oleh universiti,” katanya hari ini.

Mohammad Shatar berkata, universiti juga digalakkan untuk menilai semula program pengajian yang ditawarkan sama ada terkini, relevan dan selari dengan kehendak majikan atau sebaliknya.

Katanya, program ditawarkan juga perlu bersifat futuristik, misalnya seperti program berkaitan dron dan robotik kerana sedar pekerjaan pada masa akan datang berbeza dengan sedia ada sekarang. 

“Jadi, dengan mempromosikan kebolehpasaran graduan sebagai satu daripada tarikan akan mampu menarik lebih ramai pelajar asing belajar di Malaysia. 

“Ini selaras dengan jangkaan populasi terbesar dunia iaitu Gen Z yang kini mewakili lebih 30 peratus populasi dunia berdasarkan data Pusat Penyelidikan Pew, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjadikan ia pasaran baik untuk diteroka IPT tempatan,” katanya.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN