Kebakaran tujuh rumah, warga emas dukung anak tiri OKU untuk selamatkan diri - Utusan Malaysia

Kebakaran tujuh rumah, warga emas dukung anak tiri OKU untuk selamatkan diri

NIK Zatifah Nik Yusof bersyukur Junaidah Sulaiman yang lumpuh sejak kecil terselamat dalam kebakaran tujuh rumah di Taman Islam Kampung Bakau Tinggi, Chukai di Kemaman, hari ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Tindakan pantas seorang warga emas mendukung anak tirinya yang berstatus orang kelainan upaya (OKU), berjaya menyelamatkan kedua-dua mereka dalam kebakaran melibatkan tujuh rumah di Taman Islam Kampung Bakau Tinggi di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.40 pagi itu, Mahasan Zakaria, 70, di samping Junaidah Sulaiman, 24,  bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Isterinya, Nik Zatifah Nik Yusof, 54, berkata, kebakaran berlaku ketika dia keluar membeli hidangan sarapan pagi, manakala suami dan anaknya berada di rumah.

Katanya, faktor usia menyebabkan kudrat Mahasan terbatas tetapi dia bersyukur kerana suaminya sanggup bersusah-payah mendukung Junaidah yang lumpuh sejak kecil.

“Saya nampak asap berkepul dan tidak sangka rumah saya yang terbakar. Apabila sampai, saya dapati suami dan anak sudah berada di luar.

“Walaupun harta benda tidak dapat diselamatkan tetapi saya bersyukur kerana suami dan anak terselamat,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Kebakaran itu menyebabkan seramai 32 penduduk di taman berkenaan hilang tempat tinggal sekelip mata, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Bakau Tinggi, Mohd. Rabi Ali berkata, kejadian berkenaan berlaku terlalu pantas hingga kesemua mangsa termasuk dirinya tidak sempat menyelamatkan barangan berharga masing-masing.

“Saya terdengar bunyi di bahagian bumbung dan apabila keluar dari rumah, saya terkejut tengok rumah terbakar lalu segera minta jiran memaklumkan kejadian itu terutama kepada penduduk warga emas dan OKU,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN