NIBONG TEBAL: Kira-kira 400 individu daripada 86 keluarga berdekatan tapak pelupusan sampah Pulau Burung di sini dipindahkan ke kawasan selamat selepas kebakaran di kawasan itu sejak empat hari lalu belum berjaya dipadamkan.
Dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Indah dan SK Bakap Indah membabitkan penduduk dari Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru.
Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan negeri, Phee Boon Poh berkata, tindakan itu dibuat selepas lawatan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow ke tapak berkenaan hari ini.
“Pemindahan sementara membabitkan kira-kira 400 orang daripada 86 keluarga ke kawasan selamat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Seberang Perai Selatan dalam satu kenyataan berkata, stesen pengawasan kualiti mudah alih Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang ditempatkan di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Byram mendapati terdapat kandungan gas yang boleh memberi risiko kesihatan.
Menurut kenyataan itu, penduduk yang tinggal di lokaliti Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru dinasihatkan untuk berpindah ke dua PPS buat sementara waktu.
Kebakaran tapak pelupusan sampah berkeluasan 16.2 hektar itu dilaporkan berlaku kira-kira pukul 4.40 petang Rabu lalu membabitkan kawasan seluas 6.5 hektar.
Kebakaran itu berjaya dikawal kira-kira pukul 9 malam Khamis lalu, manakala kerja-kerja pemadaman masih dilakukan ketika ini.
Menurut kenyataan itu lagi, JAS melakukan pemantauan kualiti udara di tiga lokasi iaitu Masjid Daerah Seberang Perai Selatan; Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Changkat dan Dewan MPKK Kampung Kebun Baru.
“JAS akan terus membuat pemantauan kualiti udara dari semasa ke semasa.
“Orang ramai diingatkan untuk terus mematuhi nasihat kesihatan dengan mengurangkan aktiviti luar, memakai pelitup muka dan segera ke hospital jika mengalami gejala seperti sesak nafas dan tidak sihat,” katanya. – UTUSAN ONLINE










