Kebakaran tapak sampah, 115 penduduk setuju berpindah  - Utusan Malaysia

Kebakaran tapak sampah, 115 penduduk setuju berpindah 

NUR SYAKILA ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL: Sebanyak 18 buah keluarga membabitkan kira-kira 115 penduduk di Kampung Kebun Baru dekat sini bersetuju berpindah selewat-lewatnya pukul 8 malam ini.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Nur Syakila Abdullah, 48, berkata, usaha memujuk penduduk supaya berpindah akhirnya membuahkan hasil.

“Secara keseluruhannya terdapat 36 buah rumah dan segelintir penduduk yang berpindah akan ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Indah (SKSI). Selebihnya akan menumpang di rumah saudara-mara antaranya di Bukit Panchor, Parit Buntar dan Bukit Mertajam.

“Kami bersyukur usaha memujuk yang dijalankan seawal 6.40 pagi tadi membuahkan hasil dan kebanyakan penduduk memberikan persetujuan untuk berpindah,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, dua PPS dibuka di SKSI dan SK Bakap Indah bagi memindahkan penduduk Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru, di sini kerana berdepan masalah pencemaran udara.

Ia susulan kebakaran Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung yang berlarutan sejak Rabu lalu yang masih belum dapat dipadamkan sepenuhnya.

Nur Syakila berkata, ini adalah pertama kali arahan berpindah dikeluarkan terhadap penduduk susulan kebakaran terbabit.

“Kebakaran ini adalah yang kali keempat berlaku sejak beberapa tahun lalu. Bagaimanapun, kali ini adalah yang paling teruk kerana kita khuatir penduduk bakal berdepan masalah kesihatan seperti sesak nafas ekoran pencemaran udara.

“Setakat ini, proses perpindahan penduduk berjalan lancar dan kami turut menyediakan kenderaan khas untuk membantu penduduk yang memerlukan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN