Keadaan banjir di Segamat makin pulih - Utusan Malaysia

Keadaan banjir di Segamat makin pulih

PENDUDUK kampung melihat keadaan banjir di Kampung Pogoh Tengah, Segamat baru-baru ini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Keadaan banjir di Segamat semakin pulih setelah jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 1,110 mangsa daripada 299 keluarga direkodkan setakat pukul 12 tengah hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, jumlah itu menyusut berbanding 1,246 mangsa daripada 336 keluarga yang direkodkan tengah malam tadi.

Katanya, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Balai Raya Taman Suria yang menempatkan seramai 44 mangsa daripada 15 keluarga ditutup pukul 9 pagi tadi setelah kesemua mereka pulang ke kediaman masing-masing.

“Setakat ini, jumlah mangsa banjir di negeri ini juga terus berkurangan kepada 3,026 mangsa daripada 876 keluarga berbanding 3,161 mangsa. Sementara itu, bilangan mangsa banjir di tiga lagi daerah yang terjejas tidak mencatatkan perubahan berbanding rekod tengah malam tadi.

“Seramai 678 mangsa daripada 206 keluarga ditempatkan di sembilan PPS di Tangkak, 1,107 mangsa daripada 337 keluarga ditempatkan di 10 PPS di Muar dan 130 mangsa daripada 34 keluarga ditempatkan di dua PPS di Batu Pahat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Vidyananthan berkata, laporan Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Johor menunjukkan aras air sungai di kawasan terjejas menunjukkan trend penurunan namun ada sebahagiannya masih berada di paras bahaya.

Katanya, ia melibatkan sungai di Buloh Kasap, Segamat serta sungai di Kampung Olak Sepam, Liang Batu dan Bukit Kepong, Muar.

“Jabatan Kerja Raya Johor memaklumkan Jalan Tekam-Pogoh dan Jalan Muar-Labis ditutup untuk semua kenderaan kerana masih digenangi banjir setinggi 0.6 meter, manakala Jalan Kemuning 1, Felda Bukit Aping, Kota Tinggi ditutup akibat kejadian tanah runtuh,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya