fbpx

Kapal pesisir pantai bantu tingkat kawalan keselamatan Sabah

HISHAMMUDDIN Hussein (kiri) memeriksa kawalan kuarter semasa lawatan kerja di Markas Divisyen Kelima Infantri di Kota Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kawalan keselamatan di perairan Sabah akan terus diperkukuhkan dengan beroperasinya satu lagi kapal pesisir pantai (LMS) baharu yang akan ditauliahkan pada 28 Januari ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, LMS 4 dinamakan sebagai Rencong ini tiba di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Sepanggar pada 28 Disember tahun lalu.

Ia adalah tambahan kepada tiga LMS yang diterima sebelum ini iaitu Kapal Diraja (KD) Keris, KD Sundang dan KD Badik yang ditauliahkan antara 6 Januari 2020 hingga 22 Oktober tahun lalu.

“Justeru, TLDM kini boleh melaksanakan sepenuhnya perancangan mereka menerusi LMS ini khususnya di bawah Program Transformasi 15 to 5 bagi mengukuhkan lagi kawalan keselamatan di perairan negara.

“LMS ini adalah salah sebuah daripada lima kelas kapal dalam Program Transformasi Armada 15 to 5,” katanya dalam sidang akhbar sempena lawatan kerja ke Markas Divisyen Kelima Infantri Kem Lokkawi, hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan Panglima 5 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Mohd. Halim Khalid.

HISHAMMUDDIN Hussein (dua kiri) bersama Hajiji Noor (kiri) dan Mohd. Halim (kanan) semasa sidang akhbar di Kota Kinabalu hari ini.

Beliau berkata, misi utama skuadron kapal ini adalah bagi menangkis ancaman asimetri, pengawasan kawasan operasi, rondaan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE), tugas-tugas sokongan kepada Gerakan Ketenteraan Selain Daripada Perang (MOOTW) serta sebagai platform sokongan kepada tugasan dalam keadaan aman, konflik mahupun perang.

Menerusi keupayaan LMS ini, rondaan di perairan Sabah dapat dipertingkatkan bagi menangani kegiatan jenayah rentas sempadan seperti kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui jalan laut serta menangani aktiviti pelanunan.

Tambah beliau, beberapa lagi perancangan khusus demi keselamatan Sabah akan dilakukan dari masa ke semasa.

Mengulas lanjut katanya, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bekerjasama rapat dengan agensi negeri menerusi Operasi Murni (Op Murni) bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan banjir sekali lagi.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata, kerajaan tidak akan berkompromi dalam isu pemalsuan sijil vaksinasi Covid-19.

“Pihak berkuasa telah mengambil tindakan dan siasatan mesti diteruskan. Ketamakan mereka untuk mendapatkan keuntungan hingga sanggup mengambil kesempatan ketika musibah melanda dunia.

“Perkara ini akan ditangani segera bagi mengambil tindakan terhadap mereka. Tindakan demi meraih keuntungan ini boleh menjejaskan mereka yang tidak berdosa khususnya dengan kewujudan varian baharu.

“Maka, pihak berkuasa akan mengenal pasti mereka yang tidak bertanggungjawab ini,” katanya.- UTUSAN ONLINE

 

POPULAR

KOSMO! TERKINI