Kantoi sorok dadah bernilai RM5.08 juta dalam lori - Utusan Malaysia

Kantoi sorok dadah bernilai RM5.08 juta dalam lori

YAHAYA Othman menunjukkan barang rampasan melibatkan dadah ketika sidang akhbar di IPK KL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tindakan satu sindiket dadah yang menyimpan dadah di dalam sebuah lori tiga tan sebelum meletakkannya di taman perumahan bagi mengaburi pihak berkuasa akhirnya terbongkar.

Taktik itu dapat dihidu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur selepas melancarkan Operasi Mitch bermula pukul 11.35 pagi hingga 4.50 petang pada 27 Januari lalu di sekitar ibu negara dan Selangor.

Atas risikan dan maklumat, enam suspek terdiri daripada empat warga tempatan dan dua warga asing termasuk seorang wanita Vietnam diberkas.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, hasil tangkapan itu juga, pelbagai dadah seberat 141 kilogram bernilai RM5.08 juta dan wang tunai berjumlah RM5,168 dirampas.

“Kita tahan mereka menerusi tiga serbuan berasingan di tiga hotel penginapan yang disewa mereka.

“Turut ditahan iaitu dalangnya seorang lelaki warga Singapura dan kesemua yang ditahan berusia lingkungan 20 hingga 42 tahun,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Kata beliau, susulan soal siasat ke atas mereka yang ditahan, satu lagi serbuan dilakukan di sebuah taman perumahan di Selangor sebelum menemukan sebuah lori seberat tiga tan bersama dadah disyaki syabu anggaran seberat 141 kilogram.

Katanya, siasatan lanjut polis mendapati sindiket berkenaan menggunakan modus operandi dengan menyimpan kesemua bekalan syabu yang dibungkus di dalam peket teh sebelum disorok di dalam lori tersebut.

“Lori berkenaan kemudiannya diparkir di kawasan perumahan itu sebagai taktik daripada aktiviti mereka dikesan pihak berkuasa.

“Empat warga tempatan yang bersubahat dalam kegiatan ini didapati memiliki rekod jenayah lampau berkaitan aktiviti dadah dan turut disahkan positif syabu menerusi ujian saringan air kencing,” jelasnya.

Sementara itu, kata Yahaya, dalang utama dan wanita Vietnam yang ditahan bagaimanapun negatif dadah dan tiada rekod lampau.

“Semakan lanjut mendapati, kedua-dua mereka memiliki pasport lawatan sosial dan sindiket  berkenaan baru sahaja sebulan aktif dalam pengedaran tersebut.

“Kesemua suspek kini direman selama tujuh hari untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan punca bekalan dadah masih dalam siasatan,” jelasnya.

Dalam pada itu, tambah Yahaya, pihaknya sedang mengesan pemilik sebenar lori bagi membantu siasatan lanjut.

“Siasatan lanjut mendapati, ahli sindiket berkenaan tidak bertemu secara bersemuka dan hanya berkomunikasi menerusi telefon berkongsi lokasi kutipan barang dadah kepada pembekal kecil di sekitar Lembah Klang.

“Dadah yang dirampas boleh digunakan oleh 282,108 pengguna dadah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya