Kaki dipotong akibat kemalangan, Mohamad Rashid tabah jalani hidup - Utusan Malaysia

Kaki dipotong akibat kemalangan, Mohamad Rashid tabah jalani hidup

MOHAMAD Rashid Rusli yang hanya terlantar dibantu oleh ibunya, Norita Dualan. - UTUSAN/NURULAZMA SHAFIQAH KHAIRUL AZHAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU: Kemalangan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja tahun lalu mengakibatkan kaki kiri Mohamad Rashid Rusli, 28, dipotong malah turut menyebabkan tangan kanannya patah.

Keadaan tersebut menyebabkan pemuda dari Kampung Petaseh dekat sini itu kini hanya terbaring di atas katil sambil dibantu keluarga termasuk ibunya, Norita Dualan, 50, bagi urusan harian.

Walaupun terpaksa melalui situasi sukar, Mohamad Rashid mengakui perlu tabah dan reda dengan ujian hidup yang dihadapinya itu.

“Sebelum ini, saya seperti pemuda yang lain, menjalani kehidupan seperti biasa. Bekerja, keluar bersama keluarga dan kawan-kawan, tetapi saya kini mampu baring sahaja. Siapa tidak sedih mengenangkan nasib, sepatutnya sebagai anak sulung, saya yang perlu menjaga ibu ayah dan adik-adik lain, tetapi mereka pula yang terpaksa menjaga saya dalam keadaan begini.

“Saya akur dan reda, tetapi memang sedih kerana terpaksa menyusahkan ibu yang kini membantu membersihkan saya, hantar saya ke hospital dalam masa yang sama perlu juga menguruskan adik-adik yang masih bersekolah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Dalam pada itu, Mohamad Rashid memaklumkan, dia sukar mendapatkan lampin pakai buang selain keperluan bantuan kewangan bagi menampung kehidupan sehariannya.

“Baitulmal ada membantu memberikan saya lampin pakai buang, namun saya tidak muat untuk menggunakannya, saya terpaksa beli yang lain.

“Di farmasi atau kedai tidak ada jual jenama lampin pakai buang tersebut dan saya perlu mendapatkannya menerusi pembelian dalam talian. Bagaimanapun saiz lampin yang saya gunakan juga sering kali kehabisan stok,” katanya.

Sementara itu, Norita berkata, menjadi rutinnya kini untuk menguruskan Mohamad Rusli seperti mengganti lampin pakai buang, membersihkan diri dan mencuci luka.

Orang ramai yang ingin memberikan bantuan dan menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya menerusi akaun Maybank 155069246919 atas nama Mohamad Rashid Rusli.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN