KUALA NERUS: Seorang pekerja am di sebuah universiti swasta di Bukit Tunggal di sini terkejut apabila menemukan seekor anak buaya ketika membersihkan longkang, baru-baru ini.
Ahmad Ismail Salleh, 35, berkata, anak buaya berukuran kira-kira 30 sentimeter itu pada mulanya disangka biawak dan alat permainan kanak-kanak.
Katanya, sepanjang lapan tahun berkhidmat, itu merupakan kali pertama dia menemukan haiwan liar berkenaan di kawasan universiti.
“Kejadian berlaku pada 9 Januari lalu kira-kira pukul 11 pagi dan apabila saya cuba menolaknya dengan ranting, ia bergerak.
“Akibat panik dan risau, saya segera menangkapnya dan dilepaskan di sungai di belakang universiti,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Ahmad Ismail, penemuan anak buaya itu menggemparkan warga universiti terutama kemungkinan terdapat ibunya di sekitar kawasan berkenaan.