PARLIMEN: RUU PSB lebih untungkan pemaju berbanding rakyat

PARLIMEN: RUU PSB lebih untungkan pemaju berbanding rakyat

sabah
SUHAIMI NASIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) 2025 dilihat lebih menguntungkan pemaju berbanding rakyat apabila memberi ruang konsolidasi tanah strategik kepada pihak swasta sekali gus menekan golongan kecil di bandar.

Datuk Suhaimi Nasir (BN-Libaran) berkata, meskipun RUU itu hanya terpakai di Semenanjung, kesannya akan tetap dirasai rakyat Sabah dan Sarawak menerusi implikasi ekonomi, kewangan serta pasaran perumahan nasional.

“Di Sabah, status tanah berbeza kerana majoritinya berbentuk Country Lease atau Town Lease dengan tempoh 99 tahun.

“Jika model URA dijadikan dasar, pemilik tanah yang sudah mendirikan bangunan, khususnya di kawasan bandar bernilai tinggi, bakal menanggung beban pembangunan semula yang akhirnya menekan rakyat Sabah dalam jangka panjang,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Suhaimi berkata, mekanisme pembangunan semula itu akan menimbulkan masalah besar kepada pemilik rumah yang masih menanggung pinjaman perumahan selama 30 hingga 35 tahun kerana unit kediaman boleh dipaksa terlibat meskipun baki hutang belum dilangsaikan.

“Rakyat khususnya golongan B40 di kawasan bandar berisiko menanggung hutang berganda apabila masih membayar pinjaman rumah tetapi pada masa sama berdepan kehilangan bentuk asal kediaman mereka,” katanya.

Suhaimi berkata, RUU tersebut jelas lebih berpihak kepada pemaju berbanding rakyat.

“Ia membuka ruang konsolidasi tanah strategik di tangan pihak swasta sementara rakyat kecil kehilangan kuasa ke atas harta. Pemaju mengaut keuntungan besar, rakyat pula kehilangan maruah,” katanya.

Tambah beliau, kuasa besar yang diberikan kepada menteri juga menimbulkan kebimbangan kerana boleh disalahgunakan serta bertentangan dengan semangat federalisme malah berpotensi menyalahi Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak terhadap harta.

Pada masa sama, katanya, pemaju turut berdepan risiko apabila terpaksa mengambil pinjaman jambatan (bridging loan) bagi menampung projek, sebelum kos itu akhirnya dipindahkan kepada pembeli.

“Keadaan ini menyebabkan pembeli rumah sukar mendapat pinjaman bank kerana projek dianggap berisiko tinggi, sekali gus menekan lagi pasaran perumahan dan memberi impak langsung kepada golongan berpendapatan rendah serta sederhana,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan RUU berkenaan wajar ditolak atau sekurang-kurangnya ditangguhkan sehingga libat urus menyeluruh dilakukan bersama semua pihak berkepentingan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN