Jawatankuasa Pemantauan Bajet 2022 pantau prestasi, pelaksanaan - Utusan Malaysia

Jawatankuasa Pemantauan Bajet 2022 pantau prestasi, pelaksanaan

ISMAIL Sabri umumkan sebuah Jawatankuasa Pemantauan Bajet 2022 ditubuhkan bertujuan memantau pelaksanaan dan prestasi inisiatif-inisiatif di bawah belanjawan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan bertekad memastikan pelaksanaan teratur bagi kesemua strategi yang digariskan di dalam Bajet 2022 bernilai RM332.1 bilion demi kesejahteraan rakyat, sektor perniagaan berdaya tahan dan memacu pertumbuhan ekonomi makmur dan mampan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dalam usaha itu, sebuah Jawatankuasa Pemantauan Bajet 2022 ditubuhkan bertujuan memantau pelaksanaan dan prestasi inisiatif-inisiatif di bawah belanjawan negara itu serta mencadangkan penyelesaian, intervensi dan perubahan polisi yang sesuai.

Beliau menjelaskan, proses pemantauan juga melibatkan kerjasama rapat dengan kementerian dan agensi pelaksana bagi memastikan penyaluran manfaat Bajet 2022 dan penyampaian perkhidmatan awam efisien dan efektif.  

“Selain itu, JPB 2022 juga meneliti tahap keberhasilan inisiatif-inisiatif di bawah Bajet 2022 dan mempertimbangkan semula jumlah peruntukan bagi inisiatif-inisiatif berkaitan, jika perlu. 

“Pakar-pakar industri akan dijemput menghadiri mesyuarat JPB 2022 untuk memberi maklum balas profesional, jika perlu. Kerajaan juga mengalu-alukan maklum balas rakyat, sektor perniagaan dan masyarakat sivil mengenai pelaksanaan Bajet 2022 yang boleh dikongsi melalui talian hotline 03-88824666,” katanya dalam kenyataan hari ini.  

Ismail Sabri berkata, berkaitan dengan bencana banjir yang meninggalkan impak lebih teruk dari tahun-tahun sebelum ini, kerajaan menegaskan bahawa pelaksanaan agenda kelestarian juga diberi perhatian khusus di dalam penyediaan Bajet 2022. 

Kata beliau, sejumlah RM450 juta diperuntukkan bagi pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar dan biodiversiti, penerbitan Sukuk Kelestarian bernilai RM10 bilion bagi mencapai  strategi pembangunan mampan negara. 

“Kerajaan juga berharap agar semua segmen Keluarga Malaysia bekerjasama dalam menjayakan pelaksanaan langkah-langkah Bajet 2022 bagi kesejahteraan kita bersama,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN