IPOH: Jawatankuasa khas yang akan ditubuhkan bagi menangani isu rumah ibadat yang dibina di dalam kawasan gua di negeri ini akan melibatkan pelbagai parti politik.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia bertujuan mengelakkan perkara tersebut dipolitikkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Jawatankuasa khas ini akan ada wakil daripada kerajaan dan pembangkang sebab saya nak mengelakkan daripada ia dipolitikkan.
“Ini bukan satu satu isu politik dan kita akan panggil MCA, MIC, DAP dan PKR untuk duduk di situ,” katanya kepada pemberita selepas Program Jelajah MESRA Anak Muda di Dewan Komuniti Taman Klebang Jaya di sini hari ini.
Menurut Saarani, semua parti terlibat akan duduk berbincang bersama kerajaan negeri serta pengusaha kuil untuk mencari jalan penyelesaian segera berhubung masalah berkenaan.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan memanggil jabatan teknikal yang berkenaan berbincang.
“Ini kerana kita perlu mencari penyelasaian segera kerana pada isu keselamatan adalah keutamaan saya,” katanya.
Ditanya bila jawatankuasa khas berkenaan akan ditubuhkan, Saarani berkata, Pejabat Tanah dan Galian negeri masih menunggu senarai nama ahli jawatankuasa khas daripada pengusaha-pengusaha tokong.
“Saya menghubungi PTG minggu lepas dan PTG kata sedang menunggu nama itulah (ahli jawatankuasa khas) dan apabila dapat, sudah tentu kita akan menyediakan jawatankuasa daripada daripada pihak kerajaan untuk duduk bersama-sama dengan mereka melihat kaedah terbaik bagi menyelesaikan masalah ini,” katanya.
Rabu lalu, Saarani mengumumkan sebuah jawatankuasa khas bagi menangani isu rumah ibadat yang dibina di dalam kawasan gua akan ditubuhkan.
Ia ekoran pengeluaran notis terhadap 14 pengusaha rumah ibadat dalam kawasan gua di atas tanah kerajaan sekitar Mukim Sungai Raya dan Mukim Hulu Kinta.
Notis mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 itu antara lain disebabkan kerja-kerja pembinaan struktur yang semakin aktif tanpa kelulusan di kawasan berkenaan boleh mengundang risiko keselamatan. – UTUSAN ONLINE










