JOHOR BAHRU: Jasad mendiang Shebby Singh atau nama sebenarnya Serbegeth Singh dibawa ke Kuala Lumpur untuk diuruskan mengikut istiadat masyarakat Punjabi di Pusat Pembakaran Mayat Jalan Loke Yew.
Jasad mendiang yang ditemani ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat bertolak daripada Taman Nesa, di sini kira-kira pukul 7 pagi ini.
Menurut anak lelakinya, Sonuljit Singh, 32, keluarga membuat keputusan untuk semua urusan dilaksanakan di Kuala Lumpur kerana mendiang telah lama menetap di sana.
Kelmarin, Shebby dilaporkan maut ketika sedang berbasikal di Sunway Iskandar, Iskandar Puteri sekitar pukul 7 malam. Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar yang turut memaklumkan tiada unsur jenayah dalam insiden itu.
Mendiang pernah menyarung jersi Harimau Malaya pada 1982 hingga 1991 dan telah beraksi pada sukan Asia di New Delhi pada 1982, sukan Asia di Seoul pada 1986 dan sukan Asia di Beijing 1990.
Selain itu, Shebby turut berjaya memenangi pingat emas Sukan Asia Tenggara (SEA) Kuala Lumpur pada tahun 1989. Mendiang yang berasal dari Johor turut menyarung jersi Pahang, Perak, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur selain turut bergiat aktif sebagai pengulas sukan bola sepak tempatan dan antarabangsa. – UTUSAN ONLINE










