PETALING JAYA: Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mengangkat tangan berdoa supaya bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kembali sihat supaya dapat menabur jasa dan memperjuangkan nasib rakyat.
Presiden Putra, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, jasa yang ditaburkan oleh pemimpin tersebut sebagai Perdana Menteri paling lama menutupi segala kelemahan beliau semasa melakukan pemerintahan.
Menurut beliau, walaupun sudah berbeza kelompok bersama Pengerusi Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) itu, masih terdapat sentimen semasa bersama hingga membuatkan bekas Perdana Menteri itu menjadi ikonnya.
“Saya akui Tun mempunyai kelemahan sendiri semasa mentadbir negara ketika dahulu, tetapi jasanya terlalu besar. Terdapat pelbagai perkara baharu dan pencapaian yang membawa kepada kesejahteraan rakyat pada masa kini.
“Seluruh ahli Putra membaca doa dan memohon urusan Tun dipermudahkan oleh Allah SWT. Apapun terjadi kita perlu ingat beliau adalah Perdana Menteri paling lama berkhidmat dan banyak jasa kepada negara,” katanya selepas majlis perhimpunan agung perwakilan tahunan parti kali kedua.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Dr. Mahathir disahkan berada dalam Unit Rawatan Koronari (CCU), Institut Jantung Negara (IJN) untuk prosedur perubatan elektif.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut hadir di IJN bagi melawat Dr. Mahathir pada petang tadi bagi melihat sendiri keadaan bekas Perdana Menteri tersebut yang dipercayai berada di dalam keadaan stabil.