Irmohizam dilantik Pengerusi Konvensyen dan Pameran MAC WTCA - Utusan Malaysia

Irmohizam dilantik Pengerusi Konvensyen dan Pameran MAC WTCA

IRMOHIZAM IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Pengarah Urusan Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim dipilih secara sebulat suara sebagai individu pertama dilantik Pengerusi Konvensyen dan Pameran (C&E) Majlis Anggota Penasihat (MAC) World Trade Centers Association (WTCA) yang beribu pejabat di New York, Amerika Syarikat. 

WTCKL dalam kenyataan memaklumkan, pelantikan itu merupakan satu pengiktirafan kepada rakyat Malaysia dalam menangani pandemik Covid-19 serta keyakinan penuh seluruh negara anggota terhadap kemampuan negara ini.

Kenyataan menambah, sebelum ini WTCA membahagikan C&E MAC kepada beberapa wilayah iaitu Asia Pasifik, Amerika dan Eropah, Timur Tengah dan Afrika, namun semua ahli Lembaga Pengarah WTCA bersepakat untuk menggabungkan semua anggota menjadi sebuah kumpulan bertaraf global. 

“Penggabungan ini akan dapat meningkatkan penyertaan acara perniagaan, pameran dan konvensyen dari seluruh anggota WTCA. Ia juga diharap dapat memberi manfaat kepada seluruh dunia melalui kerjasama dan usaha mempelbagaikan perkhidmatan industri acara perniagaan yang telah terjejas akibat pandemik Covid-19,” kata kenyataan itu hari ini.

Dalam pada itu, kenyataan sama memaklumkan Industri Mesyuarat, Insentif, Konvensyen dan Pameran (MICE) dan acara perniagaan telah terjejas teruk berikutan pandemik Covid-19 yang melanda di seluruh dunia. 

Kata kenyataan itu lagi, penutupan sempadan dan kelewatan pembukaan semula industri telah menyebabkan Malaysia khususnya mengalami kerugian lebih daripada RM27.5 bilion dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). 

“Di samping itu, industri pelancongan Malaysia turut mengalami kerugian hasil sebanyak RM45 bilion. Oleh demikian, dengan penggabungan baharu ini, diharapkan semua ahli WTCA dapat bekerjasama untuk merancakkan dan mengembalikan semula kegemilangan industri ini dalam tempoh pasca pandemik,” jelas kenyataan itu lagi.-UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN