Hidup saya macam orang lain pula yang lebih tahu? - Utusan Malaysia

Hidup saya macam orang lain pula yang lebih tahu?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“EH, itu Fiza Halim yang kahwin cerai tiga kali itu kan? Eh.. apa masalah dengan dia itu ya?” kata seorang lelaki tua pemandu e-hailing yang tidak dikenali wanita ini saat terdengar perbualan tersebut dengan seorang rakannya.

Bayangkan, jika kaum lelaki pun boleh mempunyai sisi pandangan sinis terhadap status dan kisah peribadinya, apatah lagi kaum wanita yang tentu-tentunya lebih cenderung untuk ‘membawang’ di belakang, menghina dan mengkritik.

Bukan kerana dia tidak biasa menerima kecaman. Malah, sejak zaman bergelar penyanyi dan anggota kumpulan Elite pun, situasi seperti itu sudah lali dilalui.

Cuma, kali ini berbeza. Emosi yang dirasakan, seakan amat berat sekali untuk ditanggung.

“Kalau selama ini, gelaran artis itu pun orang sering pandang sebelah mata, apa lagilah jika artis itu berstatus macam saya ini. Yang kata itu pun, pangkat pakcik dan bapa-bapa tahu? Pernah juga sebelum ini, beberapa kali saya dipandang serong oleh golongan makcik-makcik.

“Tapi tetap saya senyum saja wa­laupun mata mereka melihat saya atas bawah.Tapi tak apa, saya telan saja,” katanya.

Cuba memecahkan butir bicaranya mengenai segala perihal yang pernah berlaku sebelum ini, wanita berusia 41 tahun ini hadir dengan satu baris kata mudah, siapalah yang berkahwin mahu pula untuk bercerai?

Malah, saat ditanya adakah wujud penyesalan dalam diri dengan segala macam pengalaman perit dan kegagalan dilalui, Fiza mengaku, hakikatnya dia tidak pernah ada jawapan untuk perihal itu.

“Tanyalah mana-mana perempuan dalam dunia ini, tak ada orang nakkan perceraian. Bukan selali, bukan dua, tapi tiga kali! Tuhan sudah mengatur jalan hidup saya begitu. Kita pun tak tahu, selepas ini, adakah saya akan kahwin lagi atau tidak? Mungkin juga sampai mati pun saya ditakdirkan single, kita semua tak tahu.

“Apa yang boleh dikatakan, ketiga-tiga perkahwinan yang dilalui sebelum ini saya anggap sebagai pelajaran, pengajaran dan pengalaman. Tak boleh kata menyesal atau tidak, yang penting saya reda,”katanya.

Mengaku adat berumah tangga pasti harapan yang indah-indah sahaja didoakan, namun realiti hidup, pastinya Allah SWT itu lebih maha mengetahui akan percaturanNya.

“Orang tak duduk di tempat kita, maka macam-macamlah mereka boleh cakap. Bukan saya tak tahu orang pandang serong pada saya. Ya, saya mengaku sebagai manusia, tentulah saya pun ada khilafnya.

“Saya juga macam orang lain, impikan kebahagiaan dalam perkahwinan, nak kekal. Siapa yang nak kahwin, beranak, kemudian kena tengok anak dijaga pula oleh orang lain, tak duduk dengan kita, tak membesar depan mata kita?

“Saya bukannya tak boleh jaga anak. Tapi kena berebut-rebut, kasihan pada anak-anak. Jadi, biarlah bapa mereka yang jaga jika begitu hasrat mereka. Lagipun, mereka berduit, lebih senang dan ada kemudahan untuk anak-anak…” katanya.

Namun, bohong jika naluri seorang ibu itu tidak pernah mahu terus memperjuangkan haknya demi anak-anak apa lagi, pada Fiza, Ferra Aryana, 14, Feyyaa Adyrra, 13, dan Siti Aleena,4, ialah harta dunia akhiratnya.

Demi Tuhan, hatinya setiap hari dirundung kesedihan dan kerinduan untuk sentiasa berada dan memeluk anak-anak, mahukan ketiga-tiga mereka sentiasa ada di sisi.

“Tetapi, saya tak mahu memaksa keadaan. Kalaulah boleh saya buka cerita, memang ingin rasakan satu dunia tahu apa yang dirasakan. Tapi, kenapa hendak cerita hal dalam kain sendiri? Bukan sebab takut aib sendiri terbuka, takut juga aib orang lain turut sama terbuka.

“Jadi tak perlu diceritakan. Macam apa yang berlaku sebelum ini, bekas adik ipar menularkan kisah peribadi rumah tangga kami. Seakan-akan orang luar pula ebih tahu.

“Mungkinlah takdir saya ini mengandung dan beranak untuk bagi pada orang. Hendak buat macam mana? Bukan saya tak ambil tahu. Nak ambil mereka pun jadi masalah, hendak hubungi pun adakala tak berangkat. Tapi, tak akanlah nak cerita hal itu pada orang?” terangnya.

Memendam rasa

Mengalirkan air mata saat bercerita mendalam mengenai anak-anak, jiwa dan kesedihan seorang ibunya bagaikan dirobek-robek setiap kali melihat barang-barang anak yang masih ada di rumahnya.

Dalam keadaan terpaksa, demi tidak mahu terus dibelenggu dengan perasaan yang memakan diri, Fiza akui, baru-baru ini telah memberikan barang-barang kegunaan anak kepada orang selain membuangnya agar tidak terus nampak di mata.

“Itu antara yang saya terpaksa buat. Saya ini banyak memendam rasa, banyak terbuku di hati. Sebab itu, dalam media sosial pun saya sudah tak kongsikan sangat gambar anak-anak. Bukan sebab lupa, tapi sekarang saya nak fikir kerja saja.

“Orang pun tak payah sibuk dengan kehidupan saya. Tapi, tetap dalam hati, saya sentiasa mengharap anak-anak itu akan dapat duduk dengan saya suatu hari nanti. Naluri ibu ini tetap percaya yang satu hari nanti itu pasti untuk saya.

“Mana tahu, lepas anak-anak sudah habis sekolah nanti kami dapat duduk sama dan menetap di London ke. Mudah-mudahan. Kita tak tahu perancangan Tuhan. Mungkin sekarang saya terlihat kalah. Satu hari nanti, mungkin kemenangan milik saya,” katanya.

Berpegang tali-Nya

Meski telah melalui pelbagai fasa dalam hidup, sedikit pun, kata Fiza, dia tidak pernah terlintas di hati untuk menyalahkan Tuhan.

Lebih banyak muhasabah diri dan mengakui kesilapan, penyanyi dan pelakon ini sedar, jika dia mahu menyalahkan Dia yang di atas, barangkali sudah lama dia membuat keputusan semberono dan dangkal, mengambil nyawa sendiri.

“Apa yang saya rasakan adalah, kenapa aku ini asyik buat salah? Kenapa aku pilih jalan ini? Kenapa aku asyik ikut nafsu? Dah tahu macam ini, buat juga, nak cuba juga. Saya lebih banyak salahkan diri sendiri.

“Dalam keadaan apa sekali pun, saya tetap letakkan kepercayaan Allah SWT itu ada. Saya berpegang pada-Nya. Maha baik Allah SWT, dia tetap mengurniakan rezeki pada saya tak putus-putus,” katanya.

Dalam derita di hati, Fiza menganggap masih ada banyak perkara dan nikmat hidup yang harus disyukurinya. Malah, dia terus terbuka untuk mengubah nasib.

“Sekarang, saya mahu fokus kepada membina kerjaya. Kalau dulu, saya menyanyi, berlakon, kini saya mahu terokai pula dunia perniagaan hartanah. Memang bukan satu bidang mudah apa lagi saya datang dari bidang berlainan sebelum ini, kurang pengalaman. Tapi saya bersedia untuk belajar. Usia sebegini, saya semakin rasa jauh hati nak berlakon, nak cuba buat benda lain pula,” katanya.

Kunci hati

Dalam pada itu, sempat melayangkan pertanyaan sama ada dia kini sudah membuka ruang hatinya buat mana-mana lelaki yang mungkin ingin mengisi rasa sepinya, Fiza tidak menafikan tidaklah bersikap menutup pintu.

Bohong sekali untuk dia mengatakan tidak perlukan lelaki untuk hadir dalam hidupnya. Cuma, buat masa ini, mungkin keadaannya sedikit berbeza.

“Rasanya, diri lebih berhati-hati. Sangat berhati-hati! Biasalah, awal perkenalan semuanya memang indah-indah. Memang kita tak boleh letak diri sama macam orang lain, tapi ini apa yang saya rasakan.

“Kadang-kadang, ia bergantung pada tuah juga.Kata orang, perkahwinan itu bagaikan satu perjudian.Saya ini tiga kali kalah. Mana tahu, mungkin kali keempat saya akan menang? Cuma, saat ini saya mahu relaks dahulu, fikirkan masa depan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×