DUNGUN: Kerajaan berkemungkinan mengurangkan kuota pembalakan mana-mana negeri jika ada di antaranya yang dikesan melepasi had Catuan Tebangan Tahunan (CTT) yang ditetapkan Majlis Tanah Negara (MTN).
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tindakan itu bakal dikenakan jika pihaknya mengenal pasti kejadian seumpama itu.
“Semua negeri di Malaysia mempunyai kuota penebangan pokok balak, jadi kita kena semak sama ada melepasi CTT atau tidak.
“Dari segi tindakan, mungkin kuota seterusnya bagi negeri itu akan berkurangan,” katanya ketika ditanya selepas perasmian projek solar berskala besar di Kawasan Perindustrian Santong di Dungun, hari ini.
Sebelum ini, pelbagai pihak mengaitkan kejadian beberapa ekor harimau berkeliaran di perkampungan Orang Asli di Pos Bihai di Gua Musang, Kelantan dengan aktiviti pembalakan secara berleluasa.
Bagaimanapun, semalam, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah menegaskan, aktiviti pembalakan haram di Kelantan masih di tahap terkawal berbanding di negeri-negeri lain.
Namun, Mohd. Amar mengakui wujud kegiatan pembalakan dan penerokaan secara haram di beberapa kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) di negeri itu sejak kebelakangan ini.
Dalam pada itu, ketika ditanya adakah aktiviti pembalakan di Kelantan tidak membimbangkan, Takiyuddin berkata, kenyataan tersebut adalah berdasarkan fakta dibuat kerajaan negeri berkenaan.
“Itu mungkin berdasarkan fakta di pihak kerajaan negeri, jadi saya berpegang kepada fakta mereka,” katanya.
Takiyuddin turut menyentuh yang pembalakan tersusun berdasarkan kuota CTT sememangnya memberi manfaat kepada ekosistem termasuk populasi harimau belang.










