Marhamah jadi mangsa penipuan pelaburan emas

Marhamah jadi mangsa penipuan pelaburan emas

MARHAMAH ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas pemimpin PKR dan penceramah, Badrulamin Bahron tampil mempertahankan pelantikan anak saudaranya, Marhamah Rosli, sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang baharu, susulan pelbagai kritikan dan dakwaan yang tular di media sosial.

Badrulamin berkata, kritikan tersebut antaranya menyentuh penglibatan Marhamah dalam kempen ‘Justice for Zara’, isu kutipan derma serta dakwaan terbabit dalam penipuan pelaburan emas dan gerakan ‘New Age’.

Beliau menjelaskan bahawa kutipan derma yang dibuat bagi membantu keluarga remaja perempuan berusia 13 tahun itu telah mendapat permit daripada Pejabat Ketua Menteri Sabah, selain pihak polis turut dimaklumkan mengenai perkara berkenaan.

Menurutnya, audit dalaman juga telah dilaksanakan dan laporan berkaitan telah diserahkan kepada pihak polis.

“Dana tersebut digunakan bagi membantu keluarga dan saksi menghadiri persiapan, mesyuarat berkaitan inkues serta prosiding mahkamah.

“Tiada nama Marhamah dalam akaun berkenaan, sebaliknya akaun tersebut atas nama para peguam, ibu mangsa dan wakil NGO,” katanya dalam Facebook.

Mengulas dakwaan penglibatan Marhamah dalam penipuan pelaburan emas yang dikatakan melibatkan kerugian sehingga RM14 juta, Badrulamin menegaskan bahawa anak saudaranya juga merupakan mangsa dalam kes tersebut.

Beliau berkata, Marhamah bukan ejen skim berkenaan dan telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis dalam siasatan yang dijalankan.

Badrulamin turut menafikan dakwaan bahawa Marhamah mengamalkan ajaran ‘New Age’, yang sebelum ini dibangkitkan oleh beberapa tokoh agama sebagai bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Menurutnya, dakwaan tersebut hanyalah bersifat persepsi dan tidak disokong oleh sebarang bukti atau pengakuan daripada Marhamah sendiri.

Katanya, isu itu timbul susulan penglibatan Marhamah dalam beberapa program dan dialog yang bersifat kerohanian universal.

“Penggunaan bahasa atau simbol tertentu mungkin ditafsirkan selari dengan konsep ‘New Age’, namun tafsiran itu tidak boleh dijadikan asas untuk membuat kesimpulan tanpa bukti,” katanya.

Beliau berkata, Islam menuntut umatnya mengamalkan prinsip hikmah dan tabayyun dengan menyemak fakta serta mengelakkan fitnah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN