SHAH ALAM: Kerajaan negeri menjangkakan pemeteraian terhadap Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) dilakukan pada September tahun depan.
Exco Pelancongan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ng Suee Lim berkata, kerajaan negeri mengadakan libat urus penilaian dengan pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pengurusan Awam (SWCorp.) serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Katanya, kerajaan negeri sudah pun menyerahkan pelbagai dokumen dan inventori berkaitan pihak berkuasa tempatan (PBT) kepada Kerajaan Persekutuan.
“Sudah satu setengah tahun kita menyerahkan kesemua keperluan tersebut, termasuk melibatkan pihak ketiga. Kita sudah sampai peringkat Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS).
“Kalau tiada aral melintang, kita jangka suku ketiga pada bulan September 2026, kita boleh tanda tangan setuju bersama kalau syarat-syaratnya semua dipersetujui. Boleh kita laksanakan,” katanya ketika ditemui pada hari pertama Operasi (Op) Terjah pembersihan awam, hari ini.
Februari lalu, Utusan Malaysia melaporkan Jemaah Menteri meluluskan kemasukan Selangor dan Pulau Pinang sebagai dua negeri terkini untuk mengguna pakai Akta 672 itu.
Kemudian, pada Mac lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menyatakan Selangor menerima cadangan balas daripada Kerajaan Persekutuan, antara terma yang dicadangkan termasuklah membenarkan anak syarikat kerajaan negeri melakukan kerja-kerja kutipan sampah dan pembersihan awam.
Jelas Suee Lim, kepentingan dan kebaikan pelaksanaan akta tersebut adalah memberi kuasa lebih besar kepada pemantauan dan pentadbiran terutama melibatkan penguatkuasaan terhadap aktiviti pelupusan sampah haram.
“Dalam akta tersebut menyatakan sesiapa yang terlibat dengan pembuangan sampah haram boleh dihadapkan ke mahkamah dan dikenakan kompaun sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun.
“Berbanding undang-undang kecil PBT, hukuman yang diperuntukkan adalah denda sebanyak RM1,000. Jadi, orang melupuskan sampah secara haram tidak takut dan enggan masuk ke pusat pelupusan ditetapkan kerana hendak jimat duit,” ujarnya. – UTUSAN










