KOTA BHARU: Golongan pendidik seperti guru dan petugas Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) kini dibenarkan bergiat aktif dalam politik sebagaimana rakyat lain, berkuat kuasa serta-merta.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yakoob berkata, serentak dengan itu pekeliling terdahulu yang memberi amaran dan menyekat golongan pendidik daripada berpolitik sudah tidak terpakai.
Kata beliau, perkara tersebut telah dibincangkan secara mendalam dan Kabinet sudah memutuskan untuk memberi kebenaran itu sebagai menghormati semangat demokrasi di negara ini.
“Jika pekeliling (baharu) ini masih belum dikeluarkan, saya berharap Kementerian Pendidikan segera mengeluarkannya supaya tiada lagi tekanan dilakukan terhadap guru-guru yang aktif berpolitik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri pertemuan tertutup bersama Biro Politik UMNO Kelantan yang turut dihadiri Pengerusi UMNO negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, di sini hari ini.
Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, kebenaran berpolitik pernah diberikan kepada golongan pendidik namun semasa Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara perkara itu disekat.
“Saya ingin memaklumkan mereka masih tertakluk kepada jabatan masing-masing dan mana-mana guru atau kakitangan Kemas yang mengabaikan tanggungjawab diambil tindakan disiplin,” katanya. – UTUSAN