PALM BEACH: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump tidak bimbang dengan latihan ketenteraan China menggunakan peluru hidup di sekitar Taiwan, sekali gus dmengetepikan kemungkinan Beijing melancarkan pencerobohan ke atas pulau itu.
Trump berkata, hubungan beliau dengan Presiden China, Xi Jinping berada dalam keadaan baik dan setakat ini tiada sebarang petunjuk diberikan mengenai hasrat untuk bertindak secara ketenteraan.
“Saya mempunyai hubungan yang baik dengan Presiden Jinping dan beliau tidak pernah memberitahu saya apa-apa mengenainya. Saya memang melihat latihan itu, tetapi saya tidak percaya beliau akan melakukannya,” katanya kepada pemberita.
Trump menegaskan latihan berkenaan bukan sesuatu yang baharu dan tidak menimbulkan kebimbangan kepadanya.
“Tidak, tiada apa yang merisaukan saya. Mereka telah menjalankan latihan laut di kawasan itu selama 20 tahun. Cuma sekarang orang melihatnya secara berbeza,” katanya.
China pada Isnin melancarkan latihan ketenteraan berskala besar di sekitar Taiwan yang menurut Beijing bertujuan mensimulasikan sekatan terhadap pelabuhan-pelabuhan utama pulau itu.
China menuntut Taiwan sebagai sebahagian daripada wilayahnya, meskipun pulau itu ditadbir secara sendiri sebagai sebuah demokrasi.
Demonstrasi kekuatan ketenteraan itu berlaku susulan kelulusan pentadbiran Trump terhadap pakej penjualan senjata baharu bernilai besar kepada Taiwan, yang mencetuskan kemarahan Beijing.
Sejak beberapa dekad lalu, AS komited membantu Taiwan mempertahankan diri, namun Washington kekal dengan dasar tidak jelas sama ada ia akan campur tangan secara langsung sekiranya berlaku pencerobohan ketenteraan oleh China.










