GAZA: Cuaca musim sejuk ekstrem di Gaza terus memburukkan penderitaan penduduk di wilayah itu selepas lebih dua tahun konflik berterusan dengan Israel, menurut Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA).
Pesuruhjaya Agung UNRWA, Philippe Lazzarini berkata, hujan lebat dan ribut kuat meningkatkan kesengsaraan penduduk yang sudah lama hidup dalam keadaan serba kekurangan akibat peperangan.
Beliau menyifatkan situasi di Gaza sebagai semakin parah dengan peningkatan penderitaan manusia, keputusasaan dan kematian.
Katanya, ribuan penduduk Gaza kini terpaksa bertahan di khemah-khemah sementara yang rapuh dan ditenggelami air, selain tinggal di kawasan runtuhan bangunan yang musnah.
Keadaan itu diburukkan lagi apabila bantuan kemanusiaan tidak dibenarkan masuk ke Gaza pada skala yang mencukupi.
Lazzarini menegaskan UNRWA mampu meningkatkan bantuan dengan segera sekiranya laluan kemanusiaan dibuka sepenuhnya.
Namun, sekatan yang berterusan menyebabkan usaha menyelamat dan bantuan tidak dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
Kerajaan Palestin memaklumkan Gaza memerlukan kira-kira 200,000 unit perumahan pasang siap bagi memenuhi keperluan segera ratusan ribu penduduk yang dipindahkan akibat peperangan dan cuaca buruk.
Menurut kenyataan bilik operasi kerajaan Palestin, sistem cuaca tekanan rendah kutub yang melanda sejak Sabtu lalu menyebabkan ribuan khemah pelarian dihanyutkan atau rosak teruk, sekali gus memburukkan lagi krisis kemanusiaan di wilayah itu.
Sejak Oktober 2023, tentera Israel membunuh lebih 71,200 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 171,200 orang lain dalam serangan berterusan.










