PETALING JAYA : Tindakan seorang guru besar menyalahgunakan wang sumbangan berjumlah kira-kira RM8,000 mengundang padah apabila dia ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Sandakan hari ini.
Satu sumber memberitahu, suspek wanita berusia 60 tahun tersebut ditahan kira-kira pukul 11 pagi tadi ketika dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.
Kata sumber itu, suspek bagaimanapun dilepaskan dengan jaminan dan dijangka akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Sandakan, Sabah minggu ini.
Dalam pada itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.
Jelas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dan Seksyen 405 Kanun Keseksaan.-UTUSAN ONLINE










