Guna kolar penjejak pada Harimau Malaya - Utusan Malaysia

Guna kolar penjejak pada Harimau Malaya

Kerajaan merangka enam pendekatan dalam strategi mengelak Harimau Malaya daripada pupus. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli bercadang memakaikan kolar penjejak kepada kira-kira 150 ekor harimau belang bagi mengesan kehadiran haiwan itu jika ia keluar dari habitat asal.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, kolar penjejak itu menggunakan teknologi satelit bagi memastikan pergerakan haiwan itu dipantau dari semasa ke semasa.

“Kita telah mengarahkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk mengkaji penggunaan kolar penjejak atau tracing collar ini.

“Sebagai contoh, kolar ini juga digunakan pada haiwan liar lain seperti gajah, jadi kita bercadang untuk gunakan ia pada harimau belang juga,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan bernilai RM50,000 kepada 10 persatuan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kelab di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Bharu.

TAKIYUDDIN Hassan menyampaikan replika cek kepada wakil Persatuan Orang Kurang Upaya (OKU) Kelantan di Kota Bharu hari ini. – UTUSAN/ROSALWANI CHE SOH

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, kolar penjejak itu juga adalah sebagai usaha menyelamatkan Harimau Malaya yang merupakan hidupan liar dilindungi daripada ditembak.

“Dalam kes di Pos Bihai, Gua Musang baru-baru ini, harimau yang membaham penduduk Orang Asli terpaksa ditembak demi keselamatan orang ramai kerana perkara itu tidak dapat dielakkan,” katanya.

Beliau dalam pada itu tidak menolak kemungkinan kewujudan harimau belang di Pos Bihai juga disebabkan aktiviti pembalakan.

Namun beliau menegaskan, kerajaan di setiap negeri termasuk Kelantan diberikan kuasa mengikut undang-undang yang diperuntukkan untuk menebang balak setiap tahun di negeri masing-masing.

Akhbar sebelum ini melaporkan, kemeriahan sambutan perayaan menuai padi dan menangkap ikan sungai masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar di Pos Bihai bertukar tragedi apabila seorang lelaki maut dibaham harimau.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.10 pagi, 7 Januari lalu, mangsa, Anek Along, 59, dikatakan sedang menumbuk padi huma di belakang rumahnya namun hilang sebelum mayatnya ditemukan penduduk dalam hutan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.