PETALING JAYA: Gesaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhubung pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) disifatkan sebagai tidak menjaga kepentingan rakyat termasuk kaum Bumiputera.
Ahli Parlimen Bangi, Dr. Ong Kian Ming berkata, gesaan dilihat sebagai bersifat populis dan hanya mahu menarik perhatian ramai semata-mata.
“Faktanya, Najib membuat gesaan pada November agar lebih banyak pengeluaran KWSP, walaupun sebelum itu KWSP mendedahkan bahawa 3.6 juta pemegang akaun mempunyai kurang daripada RM1,000 dalam akaun mereka dengan dua juta daripadanya adalah ahli Bumiputera (55 peratus).
“Gesaan Najib menunjukkan beliau tidak memikirkan kepentingan jangka panjang pencarum KWSP termasuk masyarakat Bumiputera. Sebaliknya, dia menggunakan cara yang semakin populis dan tidak bertanggungjawab dari segi kewangan untuk menarik perhatian orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahmad Zahid Hamidi menggesa Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz segera membenarkan pengeluaran skim i-Citra RM10,000 untuk meringankan beban rakyat terutama mangsa banjir.