ALOR SETAR: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas ganja sebanyak 88 kilogram (kg) yang bernilai kira-kira RM4.4 juta selepas ditinggalkan di sempadan di kawasan pagar berduri dekat Jalan Stesen Kereta Api, Padang Besar, Perlis semalam.
Timbalan Komander Briged Utara PGA, Asisten Komisioner Mohd. Noh Khamis berkata, penemuan ganja tersebut bermula apabila pihaknya berjaya menjejak kelibat dua lelaki di kawasan sempadan tersebut pada pukul 9.08 malam.
Katanya, dua lelaki itu dilihat keluar dan masuk ke negara ini berhampiran pagar keselamatan sempadan tersebut.
“Dalam keadaan gelap, mereka kemudiannya meninggalkan sesuatu di kawasan semak berdekatan pagar keselamatan. Pihak kami yang melakukan intipan kemudiannya menunggu sama ada terdapat mana-mana pihak datang dari sebelah negara ini untuk mengambil bungkusan tersebut.
“Setelah menunggu selama kira-kira setengah jam, kami dapati tiada pihak yang datang ke situ. Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat tujuh plastik hitam yang diisi dengan 88 ketulan mampat diletakkan dalam kawasan semak di situ,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Markas Taktikal PGA, Bukit Kayu Hitam di sini, hari ini. Turut hadir Pegawai Pemerintah Batalion 18 PGA Pengkalan Hulu, Superintenden Ramli Wan Salin.
Mengulas lanjut katanya, kedua-dua lelaki tersebut tidak masuk terlalu jauh ke dalam kawasan Malaysia sebaliknya hanya meletakkan ganja tersebut di kedudukan kira-kira 10 meter saja dari pagar sempadan.
“Disebabkan itu kami hanya menanti sekiranya terdapat dalam kalangan individu di sebelah Malaysia yang datang bagi mengambil bungkusan tersebut. Namun setelah menunggu selama setengah jam selepas mereka meletakkan bungkusan itu, tiada mana-mana individu yang datang ke situ,” katanya.
Tambahnya kesemua rampasan itu dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar untuk tindakan serta siasatan lanjut di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Pada mulanya kami sangkakan plastik-plastik hitam tersebut berisi daun ketum namun apabila pemeriksaan lanjut dijalankan, didapati plastik-plastik itu diisi dengan ganja. Ini merupakan rampasan ganja terbesar di sempadan Malaysia dan Thailand bagi tahun ini.
“Selepas ini tidak mustahil penyeludup akan melakukan taktik sama namun kami sentiasa bersedia bagi memastikan bahan terlarang seperti ini tidak terlepas ke tanah air,” katanya. – UTUSAN