SHAH ALAM: Penduduk di 142 kawasan di Petaling dan Klang mengalami gangguan bekalan air selama 12 jam bermula pukul 3 petang ini hingga 3 pagi esok.
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan memaklumkan, gangguan tersebut berpunca daripada kejadian paip pecah di Seksyen 15 yang disebabkan pihak ketiga.
“Kejadian paip pecah disebabkan kerja-kerja pembangunan jalan berdekatan Lebuhraya Persekutuan oleh pihak ketiga semalam,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat kepada premis pengguna setelah kerja pembaikan siap.
Jelasnya lagi, tempoh pemulihan bekalan air kepada pengguna adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna. Antara kawasan terjejas di Shah Alam adalah Seksyen 17, Seksyen 18, Seksyen 19, Seksyen 20, Seksyen 23, Seksyen 24 dan Seksyen 25.
Pengguna boleh merujuk kepada media sosial untuk kawasan terjejas akibat kerja pembaikan tersebut. Bantuan alternatif lori-lori tangki akan digerakkan ke kawasan terjejas. – UTUSAN ONLINE