KUALA LUMPUR: Pengalaman mengikuti operasi penguatkuasaan ketika bertugas sebagai wartawan jenayah mendorong bekas wartawan Kosmo!, Nur Azmi Nordin, 26, menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Inspektor Percubaan, Nur Azmi berkata, ketika hampir dua tahun bertugas di meja jenayah, dia berpeluang melihat secara dekat kecekalan dan disiplin anggota polis menjalankan tugas sekali gus membangkitkan minatnya untuk menyertai pasukan keselamatan itu.
“Sebenarnya, saya tidak pernah terfikir untuk menyertai PDRM. Namun selepas sering mengikuti operasi bersama mereka, saya mula kagum dengan semangat dan komitmen pegawai polis.
“Apa yang lebih menguatkan tekad saya adalah melihat ketekunan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Yusof, yang tidak jemu memberi peringatan kepada masyarakat mengenai pencegahan jenayah,” katanya ketika ditemui selepas Istiadat Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan Inspektor Percubaan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini, semalam.
Anak kelahiran Ipoh, Perak itu berkata, pengalaman dalam dunia kewartawanan akan dimanfaatkan untuk berkhidmat kepada masyarakat.
Sementara itu, seorang lagi pelatih, Inspektor Percubaan Mahira Alias, 40, dari Lenggong, Perak, tidak menyangka dinobatkan sebagai Pelatih Terbaik Keseluruhan bagi sesi kali ini.
Ibu kepada empat anak itu membuat permohonan kenaikan Pangkat Secara Lantikan (KPSL) selepas menamatkan pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) pada 2022.
“Alhamdulillah, selepas setahun menunggu keputusan, saya akhirnya berjaya. Suami dan keluarga menjadi sumber kekuatan saya sepanjang sembilan bulan latihan di sini. Saya berazam terus berkhidmat dengan cemerlang serta menjaga integriti pasukan,” katanya.
Terdahulu, istiadat berkenaan meraikan seramai 345 Inspektor Percubaan yang berjaya menamatkan Program Latihan Asas Kepolisan di Pulapol Kuala Lumpur.-UTUSAN.










