KUALA LUMPUR : Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) menyasar untuk melahirkan sekurang-kurangnya sepuluh pengarah dalam kalangan ahli amaturnya setiap tahun melalui projek penerbitan filem kos rendah.
Presidennya, Dr. Ahmad Ibrahim berkata, sasaran itu sudah mula berhasil apabila kumpulan pertama generasi pengarah muda FDAM berjaya dilahirkan hasil Program Pemantapan Ahli Amatur sepanjang tahun lalu.
“Bermula pada penghujung tahun 2019 dengan empat orang ahli pertama, kini jumlah ahli amatur FDAM telah mencapai hampir 300 orang di seluruh negara.
Mereka terdiri daripada pelbagai latar belakang kerjaya seperti pensyarah, peguam, peniaga, penerbit, pelakon serta siswazah yang baru bergraduat.
“Sungguhpun mereka tiada pengalaman dalam pengarahan filem, mereka telah menunjukkan daya usaha untuk menimba ilmu dan kemahiran daripada pengarah senior,” katanya pada majlis Pelepasan Tren Barisan Kru dan Pelakon Misteri Hutan Tok Kepak (MHTK) di Stesen Keretapi Kuala Lumpur baru-baru ini.
Seramai 30 anggota kru penerbitan dan pelakon termasuk Ahmad ; Timbalan Presiden FDAM, Datuk Zulkeflie M. Osman Ali Kehormat FDAM Datuk Tuan Asmawi Tuan Umar menaiki koc khas tajaan Keretapi Tanah Melayu Bhd. (KTMB) ke lokasi penggambaran di Kedah.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Filem Nasional (Finas) Prof. Dr. Md. Nasir Ibrahim ; Ahli Perbadanan Finas, Prof. Datuk. Dr. A. Razak Mohaideen; Ahli Majlis Penasihat FDAM, Datin Paduka Shuhaimi Baba dan Ketua Pegawai Korporat KTMB Suhaimi Yaacob KTMB.
Sementara itu, Suhaimi berkata, penajaan KTMB dalam projek itu adalah sebagai sumbangan syarikat tersebut terhadap pembangunan industri perfileman negara.
“Kami harap melalui penglibatan kami, perkhidmatan KTM dapat didedahkan dengan lebih meluas kepada masyarakat.
Matlamat kami ialah menjadikan KTM sebagai sistem pengangkutan pilihan utama rakyat negara ini,” katanya.
Filem MHTK tulisan Dilla Hussein diterbitkan bersama oleh FDAM dan K. Titanium Pictures Sdn. Bhd. Diarahkan oleh Khairul Azizi, Rayyan Danish dan Asrul Nizam di bawah pengawasan Zulkeflie sebagai mentor.
Filem itu akan menjalani penggambaran di Kedah mulai semalam hingga 1 Februari.
Filem genre moden purba itu turut dibintangi oleh pelakon veteran Aman Shah, Zed Zaidi, Yank Kassim dan Wan Nor Azlin. – UTUSAN ONLINE










