BUKIT MERTAJAM: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sedang berusaha menstabilkan semula harga barangan khususnya sayur-sayuran dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).
Pengerusi FAMA, Datuk Mohd. Fasiah Mohd. Fakeh berkata, ketika ini rata-rata petani khususnya penanam sayur yang terjejas akibat banjir dan perintah kawalan pergerakan (PKP) telah memulakan projek tanaman mereka yang rosak atau tergendala sebelum ini.
“Pada masa sama isu pengangkutan termasuk dari luar negara yang bermasalah juga kini berjaya dikawal secara berperingkat.
“Insya-Allah, kita yakin dapat menstabilkan semula harga makanan terutamanya sayur-sayuran mungkin dalam masa beberapa bulan lagi,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pusat operasi FAMA di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Fasiah berkata, FAMA menerusi anak syarikatnya, FAMA Corporation Sdn. Bhd. (FAMACorp.) dijangka memperluaskan lagi aktiviti perniagaannya dengan meneroka cabang perniagaan yang lebih mencabar pada tahun ini.
Katanya, ini termasuk memanfaatkan sepenuhnya ruang yang terdapat di kompleks pengedaran atau pusat operasi di sini dengan mewujudkan kemudahan bilik sejuk serta Pusat Teknologi Pembungkusan Retort menerusi peruntukan sebanyak RM1.5 juta.
Menurut beliau, dengan adanya kemudahan itu dapat membantu usahawan tempatan yang mempunyai akses pasaran eksport selain meningkatkan mutu pembungkusan dan pemprosesan aseptik yang diperbuat daripada pelbagai lapisan laminat yang fleksibel.
“Teknologi itu (pembungkusan retort) juga membenarkan pensterilan pelbagai jenis produk makanan dan minuman serta mampu meningkatkan kualiti dan jangka hayat produk,” ujarnya. – UTUSAN










