SHAH ALAM: Laman rasmi Facebook Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) Negeri Selangor sah digodam oleh pihak tidak bertanggungjawab.
PPM negeri menerusi kenyataan semalam memaklumkan akaun berkenaan gagal diperoleh semula pihaknya.
“Semua admin (pentadbir) tidak berjaya mendapatkan semula akaun itu walaupun laporan kepada Facebook sudah dibuat.
“Oleh demikian, laman rasmi Facebook tersebut tidak sah dan tiada lagi ditadbir oleh pihak pengurusan PPM Selangor,” katanya.
Tambah kenyataan itu, semua pengikut laman itu diminta supaya membuat laporan secara dalam talian.
“Selain itu, orang ramai tidak lagi menjadi pengikut atau memberi tanda suka kepada laman tersebut.
“Sebarang maklumat mengenai laman baharu Facebook PPM Selangor akan dimaklumkan kelak,” katanya.
Orang ramai yang mahu mendapatkan maklumat terkini boleh melayari laman web rasmi www.pengakapselangor.org.
Untuk makluman, pemerhatian Utusan Malaysia mendapati laman Facebook yang ditubuhkan sejak 2013 berkenaan mempunyai seramai 16,000 pengikut.
Posting terakhir dimuat naik dalam laman itu empat hari lalu yang memaparkan siaran langsung sebuah permainan video dalam bahasa asing.










