KUALA LUMPUR: Enam rakan termasuk dua beradik dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang pemandu e-hailing, Disember lalu.
Mengikut pertuduhan, dua beradik itu, Ng Zhang Jing, 25, dan adiknya, Ng Zhang Le, 20, didakwa bersama-sama Teng Cheng Heng, 22; Chew Jun Seng, 22; Yohannes Isaac Anak Luwang, 21; dan Won Kok Wei, 20, serta lima individu yang masih bebas didakwa telah membunuh Mohd. Farid Abdullah, 28.
Perbuatan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 1.35 pagi, 28 Disember lalu di tempat letak kenderaan sebuah kelab malam di Jalan Bubut Kepong Baru dekat sini.
Pertuduhan ke atas kesemua tertuduh dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuwan Abd. Latip mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati.
- Hakim kanan didakwa berbogel buat laporan polis
- Ini baru aktor hebat, tak perlu juta-juta pengikut – Ogy Ahmad Daud
- Trend unboxing pasangan: ‘Tolong jaga kehormatan isteri’ – Zulkifli
Kesemua tertuduh menganggukkan kepala tanda faham atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa namun tiada sebarang pengakuan direkodkan kerana pengakuan bagi kes bunuh hanya boleh direkodkan di Mahkamah Tinggi.
Mahkamah kemudian menetapkan 11 Mac ini untuk sebutan semula kes.
Menurut laporan media sebelum ini, seorang pemandu e-hailing meninggal dunia akibat trauma tumpul di bahagian kepala dua hari selepas diserang oleh sekumpulan lelaki selepas berhibur bersama teman wanitanya.
Menurut Ketua Polis Daerah Sentul Asisten, Komisioner Beh Eng Lai, hasil siasatan mendapati tiga daripada enam suspek mempunyai rekod jenayah lampau yang melibatkan pelbagai kesalahan.