TAWAU: Dua wanita maut manakala lima anggota keluarga lain cedera dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di simpang masuk Taman Semarak, Jalan Kuhara, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 5.40 petang itu, mangsa, Suwati Sugio, 50, dan anak buahnya, Nurfaizah Ma’arop, 20, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Peter Ak Umbuas berkata, kemalangan yang membabitkan 11 orang individu itu berpunca daripada kecuaian pemandu Proton Saga semasa masuk simpang.
“Pemandu lelaki berusia 23 tahun itu dalam perjalanan dari arah Jalan Chong Thein Vun menuju ke Taman Semarak dan didapati masuk simpang secara melulu.
“Keadaan itu mengakibatkan kenderaan Toyota Land Cruiser dinaiki tujuh sekeluarga yang datang dari arah Gudang 4 gagal mengelak akibat jarak yang terlalu dekat dan melanggar bahagian depan kenderaan Proton Saga berkenaan.
“Akibat pelanggaran itu, kenderaan Toyota Land Cruiser yang dipandu lelaki berusia 50 tahun itu terbabas lalu terseret hingga memasuki lorong bertentangan sejauh 26 meter dan bertembung dengan sebuah Toyota Revo.
“Pertembungan itu mengakibatkan dua penumpang Toyota Land Cruiser iaitu Suwati dan anak buahnya, Nurfaizah maut di lokasi kejadian manakala dua mangsa cedera parah termasuk pemandu iaitu bapa kepada Nurfaizah dan ibunya.
“Tiga lagi anggota keluarga mereka mengalami cedera ringan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, pemandu Proton Saga dan Toyota Revo serta dua lagi penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.
Peter berkata, pemandu Proton Saga tidak disyaki masuk namun, sampel darah pemandu dan mangsa diambil bagi ujian alkohol dan toksikologi.
Tambah beliau, proses bedah siasat akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian dan pemandu Proton Saga ditahan untuk membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.










