Dua kes tipu demi mendapatkan bantuan banjir direkodkan di Pahang - Utusan Malaysia

Dua kes tipu demi mendapatkan bantuan banjir direkodkan di Pahang

MOHD. WAZIR MOHD. YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 KUANTAN: Dua kes penipuan direkodkan di Temerloh, dekat sini yang mana pelakunya sanggup menipu kononnya menjadi mangsa banjir demi mendapatkan bantuan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, laporan pertama diterima pihaknya pada 27 Disember tahun lalu manakala kes kedua pula pada Isnin oleh Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh dekat sini.

Beliau berkata, laporan pertama diterima daripada seorang lelaki yang mendakwa maklumat peribadi dan alamat rumahnya telah digunakan oleh individu tidak bertanggungjawab.

“Mangsa mendakwa maklumat itu digunakan bagi meminta sumbangan bantuan banjir yang telah dimuat naik melalui laman Facebook dengan memaparkan bersama akaun bank pihak ketiga tanpa diketahuinya.

“Mangsa memaklumkan bahawa rumahnya tidak terlibat dengan musibah banjir dan tampil membuat laporan polis di selepas merasakan dirinya diperdayakan pada 27 Disember lalu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Wazir berkata, laporan kedua diterima daripada seorang ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sukarelawan kebajikan membuat laporan di IPD Temerloh pada Isnin lalu.

Beliau berkata, mangsa mengesan penipuan itu selepas dimaklumkan oleh isterinya yang bertugas di pusat pemindahan sementara (PPS) berdaftar menyatakan suspek membuat permohonan bagi mendapatkan bantuan. 

“Suspek mendakwa rumahnya terlibat  banjir dan mengalami kerosakan teruk, susulan itu mangsa bersama ahli sukarelawannya menyalurkan bantuan berupa barang elektrik, bantal dan toto kepada suspek.

“Namun, selepas semakan dibuat mendapati bahawa rumah suspek tidak terlibat dengan banjir,” jelasnya.

Menurutnya, kedua-dua kes masih disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan kepada pemimpin masyarakat setempat agar membuat semakan terlebih dahulu terhadap pemohon yang diterima dengan mengesahkan kesahihan.

Jelasnya, ini bagi memastikan pemohon yang benar-benar layak menerima sumbangan yang diberikan.

“Masyarakat juga diminta jangan mudah percaya apabila berhadapan dengan individu yang meminta bantuan sebaliknya menyalurkan maklumat itu kepada pihak yang dipertanggungjawabkan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN