KUNAK: Hasrat dua individu ingin melawat saudara-mara yang berada di daerah ini berakhir dengan tragedi apabila bot yang dinaiki karam di perairan Madai, petang semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat daerah, Mohammad Omarbatha berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) pada pukul 7 petang memaklumkan tentang kejadian bot karam dan sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
Berdasarkan maklumat diterima, terdapat empat mangsa terlibat dalam kejadian bot karam tersebut namun, dua mangsa berjaya diselamatkan oleh orang awam dan dua lagi masih hilang.
“Kesemua mangsa dipercayai sedang dalam perjalanan dari Lahad Datu ke Kunak untuk berjumpa dengan saudara-mara.
“Namun, semasa dalam perjalanan berhampiran Pulau Tagabua, bot yang dinaiki karam akibat dipukul ombak,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, pada masa ini, identiti kedua-dua mangsa masih belum dapat dipastikan.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mula dijalankan hari ini bagi mencari mangsa hilang. -UTUSAN ONLINE










