JASIN: Ekoran bunyi bising ekzos kenderaan lain dan sikap penternak tidak bertanggungjawab membiarkan lembu dibela berkeliaran, seorang lelaki dan anaknya nyaris maut selepas menjadi mangsa ‘amukan’ haiwan tersebut pada Jumaat lalu.
Ketika menceritakan detik cemas itu kepada Utusan Malaysia, Mohd. Kairulnizam Ablah berkata, sekumpulan lembu yang berkeliaran di sekitar Jalan Ayer Molek-Tehel meluru secara tiba-tiba ke arahnya, dipercayai terkejut akibat bunyi bising ekzos sebuah kereta yang turut melalui kawasan tersebut.
Katanya, ekoran itu dia yang menunggang motosikal gagal mengawal kenderaan dinaiki lantas terlanggar seekor lembu, sehingga mengakibatkan kecederaan kepada anak lelakinya, Muhammad Abid Zayyan, 4, di kepala, lutut dan bibir.
“Saya dan anak lelaki menunggang motosikal dari rumah di Bandar Baru Jasin, hendak menghala ke Hospital Pantai, Ayer Keroh untuk melihat seorang lagi anak yang sedang dirawat di sana.
“Tiba di lokasi kejadian, saya memang sudah ambil langkah berjaga-jaga memperlahankan kenderaan kerana memang peka dengan lembu berkeliaran di situ. Tiba-tiba datang sebuah kereta yang bunyi ekzosnya sangat bising.
“Lembu di situ terkejut lantas meluru ke arah saya, saya sempat tekan brek, namun motosikal tidak berhenti dengan baik dan melanggar seekor daripadanya. Saya dan anak yang membonceng terjatuh di atas jalan raya, namun tidak alami kecederaan serius,” katanya ketika ditemui.
Terdahulu, pada 24 November 2021, seorang pekerja hotel maut selepas motosikal ditunggangi merempuh seekor lembu di Jalan Simpang Bekoh-Rim.
Dalam kejadian pukul 5.25 pagi, Aizal Abdullah, 47, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Sementara itu, Mohd. Kairulnizam menambah, selepas kejadian, satu laporan polis telah dibuat di Cawangan Trafik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.
Menurutnya, dia turut meminta pihak berwajib seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) memandang serius isu berkenaan, kerana ia boleh mendatangkan kehilangan nyawa terutama kepada penunggang motosikal.
“Alhamdulillah, saya bernasib baik jatuh dalam keadaan motosikal ditunggang perlahan, kalau laju mungkin lagi parah. Tambah pula di situ terdapat kawasan pembinaan sebuah apartmen, banyak kenderaan berat keluar masuk,” jelasnya.









