Densonne Yap bantu cat masjid, surau di Kelantan - Utusan Malaysia

Densonne Yap bantu cat masjid, surau di Kelantan

DENSONNE Yap (kanan) menyerahkan cat kepada ahli jawatankuasa di pekarangan Musalla Flat Buluh Kubu, Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini. - UTUSAN/ROHANA MOHD. NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Biarpun bukan beragama Islam, pemilik kedai cat kaum Tionghua, Densonne Yap memilih mengecat masjid dan surau terpilih di seluruh negeri ini sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Setakat ini, Densonne yang membuka kedai cat di Peringat, di sini, sudah mengecat lima masjid dan surau di sekitar daerah ini secara bergotong-royong bersama pengurusan serta penduduk setempat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Densonne berkata, khidmat sosial itu merupakan cara dia meraikan sambutan Tahun Baharu Cina kali ini sambil berkongsi rezeki tanpa mengira latar belakang dan pegangan agama.

Katanya, kerja amal itu bukan perkara baharu kerana sebelum ini dia turut aktif memberi sumbangan cat kepada agensi-agensi kerajaan untuk membantu mengecat rumah penduduk yang terjejas akibat banjir.

“Kos diperuntukkan bagi mengecat masjid atau surau antara RM3,000 hingga RM20,000, bergantung kepada saiz bangunan. Saya tidak memikirkan soal kos kerana ini cara saya memberi sumbangan kepada masyarakat.

“Selepas ini saya rancang untuk beri sumbangan cat ke setiap daerah. Kerja-kerja mengecat pula akan dibuat dengan kerjasama penghulu kampung selepas kita kenal pasti masjid dan surau yang perlu dicat semula,” katanya.

Terdahulu, Densonne menyerahkan sumbangan cat dan peralatan mengecat kepada Jawatankuasa Musalla Flat Buluh Kubu, di sini sebelum turut menyertai aktiviti mengecat surau tersebut bersama penduduk setempat.

Sementara itu, Imam Musalla Flat Buluh Kubu, Abu Bakar Osman, 70, berkata, dia terharu melihat sebuah syarikat bukan Islam memberi sumbangan seumpama itu kepada masjid dan surau, biarpun berlainan agama.

“Cat yang disumbangkan Densonne Yap ini dianggarkan bernilai RM7,000. Kita gunakan kesemuanya untuk mengecat bangunan Musalla Flat Buluh Kubu yang sudah berusia lebih 30 tahun.

“Kerja-kerja mengecat ini dilakukan dengan kerjasama penduduk flat secara bergotong-royong dan selesai sepenuhnya dalam masa tiga hari,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya