Dakwaan pembalakan di Kledang Saiong disiasat - Utusan Malaysia

Dakwaan pembalakan di Kledang Saiong disiasat

GAMBAR kayu balak disusun yang didakwa berlaku di Kledang Saiong, Kuala Kangsar tular dalam media sosial sejak Selasa lalu. - UTUSAN/MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan negeri akan menyiasat aktiviti pembalakan yang didakwa berlaku di Kledang Saiong, Kuala Kangsar seperti yang tular dalam media sosial sejak Selasa lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Jabatan Perhutanan Perak akan meneliti sama ada gambar yang menunjukkan kayu balak disusun di lokasi kejadian berkenaan baharu atau lama.

“Jika benar berlaku kecurian hasil balak dan penebangan yang tidak mendapat kelulusan, tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program Doa Selamat dan Santai Bersama YAB Menteri Besar Perak di Dewan Azumu, Halaman Meru Impian, di sini semalam.

Terdahulu tular dalam media sosial Facebook tiga keping gambar yang didakwa aktiviti pembalakan hutan simpan Kledang Saiong di Kuala Kangsar yang mendapat pelbagai reaksi netizen.

Gambar laluan pembalakan, kayu balak disusun dan papan tanda nama syarikat yang dimuat naik di salah sebuah laman di Facebook itu telah dikongsi lebih 700 pengguna setakat ini.

Sementara itu Saarani berkata, pembangunan kawasan perindustrian Silver Valley Technology Park (SVTP) di sini akan disegerakan selepas urusan mahkamah berkaitan penerokaan tanah di kawasan tersebut oleh petani diselesaikan.

Menurutnya, ini ekoran kerajaan negeri menerima permintaan tinggi daripada pelabur-pelabur yang berminat untuk melabur di kawasan itu.

Beliau berkata, perkara tersebut tidak boleh ditangguh memandangkan kerajaan negeri memahami keperluan serta permintaan pelabur terlibat.

“Kita memang sedang buat (pembangunan SVTP), kerana kita telah menerima permintaan daripada semua pelabur-pelabur dan kita memahami keperluan mereka untuk datang ke Perak.

“Permintaannya tinggi, oleh kerana kawasan perindustrian di Selangor dan Pulau Pinang sudah terlalu padat, maka mereka berminat untuk datang ke Perak,” katanya.

Saarani berkata, kerajaan negeri akan membuat persiapan dengan menyediakan prasarana bagi SVTP berkenaan untuk menarik lebih ramai pelabur ke kawasan perindustrian tersebut.

“SVTP adalah salah satu kawasan perindustrian yang  dicadangkan kerajaan negeri untuk digunakan pelabur dan kita akan segerakan pembangunannya seperti  dijadualkan,” katanya.

Mengenai penerokaan tanah di tapak SVTP, Saarani berkata  tindakan mahkamah masih lagi berjalan selepas rundingan sebelum ini tidak menampakkan jalan penyelesaian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN