KUALA LUMPUR : Pelakon dan selebriti media sosial, Zarina Anjoulie, tidak melihat keperluan untuk bersusah payah berada di set penggambaran demi bekerja sebagai pelakon kerana tugas sebagai pempengaruh media sosial lebih memberikan pendapatan lumayan buat dirinya.
Menurut Zarina, dia tidak menolak tawaran berlakon tidak pernah putus namun perlu bertindak bijak memilih dan membuat keputusan yang mana lebih berbaloi.
“Ramai wartawan yang tanya kenapa saya dah lama tak berlakon? Dah tiada job atau tiada tawaran disebabkan kontroversi?
“Sentiasa saja ada tawaran itu. Tapi kalau kerja saya sekarang sebagai seorang pempengaruh jauh lebih berganda gajinya dan boleh santai, kenapa saya patut pergi ikut penggambaran yang menawarkan gaji kurang dan kerja penat macam anjing?”katanya.
Zarina meluahkan perkara tersebut menerusi satu hantaran yang dimuat naik di Instagram pada malam tadi.
Terdahulu, Zarina menghadiri majlis sidang media filem Hantu Kuat Ketawa yang diadakan di ibu kota pada sebelah siangnya.
Turut hadir ke majlis tersebut ialah pengarah dan penerbit filem tersebut, Mawi dan barisan pelakon lain iaitu Saiful Apek, Syanie, Anas Tahir dan Along Cham.
Selain itu, Zarina juga menjelaskan bahawa keputusannya untuk tidak menerima tawaran berlakon dengan mudah kerana cukup tahu mengenai soal bayaran standard buat pelakon-pelakon dalam industri.
“Gaji penggambaran seminggu saya boleh buat dalam masa dua hari dengan melakukan rebiu cuma di rumah. Jadi buat apa saya nak susah payah pergi ke set penggambaran sampai pagi buta tinggalkan anak cuma untuk itu?
“Di mana logiknya?Umur saya sudah 35 tahun. Jadi dah tentulah saya akan kejar duit dulu, glamor kemudian. Adakah saya merindui dunia lakonan? Ya. Tapi tak sanggup lagi nak pergi ke set penggambaran macam zaman dulu.
“Tahulah industri Malaysia ini sedih bila bab bayaran itu dan ada juga yang tak dapat bayaran langsung. Jadi, buat apalah nak buat kerja susah bila kerja senang ada dan lagi seronok sebagai pempengaruh,”katanya.