Prasarana perkenal mesin kitar semula di stesen-stesen rel

Prasarana perkenal mesin kitar semula di stesen-stesen rel, sokong agenda bandar lestari

PRASARANA
Delegasi meninjau mural berkonsepkan sejarah Bandar Raya Kuala Lumpur yang menghiasi laluan terowong LRT Masjid Jamek.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) hari  ini dengan rasminya memperkenalkan penggunaan mesin kitar semula atau ‘Reverse  Vending Machine’ (RVM) di stesen-stesen LRT sebagai sebahagian daripada inisiatif  syarikat dalam memperkukuh amalan kelestarian serta menyokong pembangunan  mobiliti bandar yang mampan. 

Pelaksanaan inisiatif ini adalah selaras dengan Pelan Hala Tuju Kelestarian  Prasarana yang menyasarkan kadar kitar semula sebanyak 30 peratus menjelang  tahun 2030, di samping menggalakkan amalan kitar semula secara lebih meluas  dalam kalangan pengguna pengangkutan awam dan komuniti bandar. 

Menurut Ketua Pegawai Kesihatan, Keselamatan, Sekuriti, Alam Sekitar &  Pembangunan Lestari Kumpulan Prasarana, Idzqandar Abu Bakar berkata,  “Pemasangan RVM di stesen-stesen rel tumpuan seperti Stesen Masjid Jamek dan  Stesen KLCC dapat memberikan kemudahan kitar semula yang lebih mudah,  berteknologi serta berinsentif kepada para penumpang. Pendekatan ini bukan sahaja  memudahkan proses kitar semula, malah menggalakkan perubahan tingkah laku  positif melalui penggunaan teknologi pintar dan sistem ganjaran. Ia juga menyokong  usaha Prasarana dalam membina ekosistem pengangkutan awam yang lebih lestari.” 

Antara mesin yang diperkenalkan ialah KLEAN, sebuah RVM berasaskan kecerdasan  buatan (AI) yang menerima botol plastik dan tin. Pengguna boleh mengumpul mata  ganjaran melalui aplikasi mudah alih Klean untuk ditebus kepada baucar rakan niaga  terpilih seperti Zus Coffee, Grab dan Jaya Grocer. 

Turut diperkenalkan ialah mesin kitar semula ATLAS ECOPOD yang menerima  pengiktirafan Guinness World Record sebagai Mesin Kitar Semula Ternipis di Dunia.  Mesin ini dipasangkan dengan mesin layan diri ATLAS Vending, membolehkan  pengguna mengitar semula bekas minuman sejurus selepas digunakan dan  menerima ganjaran digital untuk ditebus di mesin layan diri bersebelahan. 

Kedua-dua mesin ini dilengkapi sistem penjejakan data bagi memantau tahap  penglibatan pengguna serta jumlah bahan kitar semula yang dikumpulkan, sekali gus  menyokong pelaksanaan inisiatif kelestarian berasaskan data.

Majlis pada hari ini turut diserikan dengan penghasilan mural bertemakan kelestarian  hasil kolaborasi bersama artis tempatan, Jepah Studio, yang berperanan sebagai  elemen visual bagi menonjolkan peranan pengangkutan awam dalam menyokong  kehidupan bandar yang lebih mampan. 

Pemilihan Stesen Masjid Jamek dan Stesen KLCC adalah bertepatan  memandangkan kedua-duanya merupakan stesen utama dengan aliran penumpang  yang tinggi serta lokasi strategik bagi mempamerkan inisiatif kelestarian kepada  warga kota dan pelancong. 

Seiring dengan aspirasi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ke arah bandar raya  yang lebih bersih, hijau dan lestari, Prasarana turut mengalu-alukan kerjasama  strategik serta penajaan sektor swasta bagi pemasangan RVM di stesen-stesen rel  terpilih.  

Setakat ini, terdapat enam belas (16) unit RVM yang telah dipasang di fasiliti-fasiliti  kendalian Prasarana, termasuk di Menara Prasarana dan ibu pejabat Rapid Bus Sdn  Bhd.  

Usaha ini bukan sahaja menyokong komitmen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus  (ESG), malah memperkukuh inisiatif ekonomi kitaran dan infrastruktur kitar semula  awam di Kuala Lumpur. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN