Daftar GRS stabilkan politik Sabah - Utusan Malaysia

Daftar GRS stabilkan politik Sabah

AZIZAH MOHD. DUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Pendaftaran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai gabungan parti politik rasmi akan membantu menstabilkan politik serta memperkukuh ekonomi di negeri ini.

Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Azizah Mohd. Dun berkata, pendaftaran itu harus dipercepatkan bagi membolehkan gerak kerja sedia ada lebih tersusun dalam melaksanakan pembangunan yang telah dirancang.

“Kita berharap dengan pendaftaran GRS secara sah, ia bukan sahaja melancarkan gerak kerja kerajaan tetapi juga gerak kerja parti untuk terus mendekati serta menyelesaikan pelbagai isu rakyat.

“Kita mahu gabungan ini menjadi satu gabungan yang kuat dan mampu bekerja demi Sabah. Masa depan rakyat Sabah bergantung kepada kerajaan yang kuat dan stabil kerana itu adalah asas kepada kelancaran pentadbiran dan pembangunan negeri atau negara,” katanya.

Azizah yang juga Ahli Parlimen Beaufort berkata, kerajaan yang stabil mampu memberi keyakinan kepada pelabur untuk datang melabur di Sabah dan sekiranya ramai pelabur, pertumbuhan ekonomi juga dapat dipertingkatkan.

GRS dianggotai oleh komponen Barisan Nasional (BN) seperti UMNO, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) serta komponen Perikatan Nasional (PN) iaitu Bersatu, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) serta Parti Bersatu Sabah (PBS).

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi Bersatu Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun menyatakan mesyuarat secara tidak rasmi telah membincangkan mengenai usaha ke arah pendaftaran GRS.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN