Cubaan seludup lima laras senapang angin Indonesia ditumpaskan - Utusan Malaysia

Cubaan seludup lima laras senapang angin Indonesia ditumpaskan

SEBAHAGIAN senapang angin yang dirampas Maritim Malaysia di Beacon Panjang Utara yang terletak kira-kira 13.5 batu nautika barat daya Pulau Sialu di Batu Pahat, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Lima laras senapang angin disyaki dari Indonesia yang cuba diseludup masuk oleh satu sindiket penyeludupan ke negara ini tidak berjaya apabila tindakan itu dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Pulau Sialu, di sini semalam.

Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Othman berkata, Zon Maritim Batu Pahat mendapat maklumat itu sebelum melakukan risikan dan intipan sekitar pukul 7.20 malam.

Katanya, aset Maritim Malaysia kemudian digerakkan bagi melaksanakan pemantauan di sekitar lokasi berkenaan.

“Tiada sebarang pergerakan bot atau suspek mencurigakan di sekitar lokasi penemuan, namun sewaktu pasukan operasi melakukan pemeriksaan sekitar kawasan Beacon Panjang Utara telah menemukan satu karung guni putih dan satu beg hitam.

“Ia berisi senjata api jenis senapang angin berserta sebuah kotak besi berisi peluru jenis bearing di kedudukan kira-kira 13.5 batu nautika barat daya Pulau Sialu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata Mohammad, keseluruhan barangan itu dianggarkan bernilai RM10,000 dan dibawa ke Zon Maritim Batu Pahat untuk siasatan lanjut. 

Kes disiasat di bawah Akta Senjata Api 1960 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata, Maritim Malaysia akan terus mempergiat tugas pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan dari masa ke semasa bagi memastikan pelanggaran undang-undang dapat dibanteras dan dikurangkan.

Sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan melalui talian hotline, Pusat Operasi Zon Maritim Batu Pahat menerusi talian 07-4344020 atau melalui talian bantuan kecemasan, MERS 999.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya