PETALING JAYA: Memasuki tahun ketiga wabak Covid-19, rakyat Malaysia perlu dididik untuk menerima wabak itu sebagai sebahagian dari kehidupan kerana ia tidak akan pergi begitu sahaja, kata ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd. Razlan Muhamad Rafii.
Malah katanya, rakyat negara ini perlu mempunyai kesedaran untuk yakin dengan keberkesanan vaksinasi.
Menerusi perkongsian di Facebook, beliau berkata, rakyat negara luar telah mengamalkan kepercayaan kepada kendiri dan diajar untuk menjaga diri dan kuanrantin kendiri agar tidak menjangkiti orang lain.
Ujarnya, ini kerana mereka tidak mempunyai sistem atau gelang tangan untuk mengawal mereka, maka mereka dididik untuk meletakkan tanggungjawab menjaga kesihatan diri dan orang lain dalam diri mereka sendiri.
“Perjalanan ke tiga kota besar (Dubai – Alexandria – Istanbul pada September 2021) adalah untuk menghantar anak saya belajar di Mesir, sambil mengambil peluang untuk melihat keadaan dunia luar selepas sekatan pergerakan penuh.
“Dubai hanya menutup pintu antarabangsa selama tiga bulan sepanjang dua tahun Covid-19 melanda dunia, jadi untuk memasuki negara ini, kamu hanya memerlukan sijil Vaksin dan mesti cukup dua dos. Mereka tidak mengamalkan penjarakan, namun mesti memakai pelitup muka setiap masa apabila berada dalam kompleks, tetapi ia bukan satu yang dikuatkuasakan secara ketat.
“Alexandria juga sama keadaan di Dubai tetapi lebih bebas, tidak ada penjarakan malah penggunaan pelitup muka tidak langsung di mestikan, malah kebanyakan warga mereka dan pelancong tidak menggunakan pelitup muka. Mereka hidup seperti tiada Covid-19.
“Walaupun rekod menunjukkan Mesir tidak ramai dijangkiti, rata-rata pendapat perlu di darab dengan 10 kali dengan jumlah yang dilaporkan. Namun kehidupan mereka kembali seperti biasa, yang paling penting setiap rakyat mesti mendapatkan dua dos vaksin.
“Kota Istanbul, semasa kami sampai, mereka baru membuka pintu negara kepada pelancong, kedai-kedai mula buka, pelancong mula memasuki negara ini. Berbeza dengan Dubai dan Alexandria, Istanbul menutup pintu negara agak lama, namun apabila pintu dibuka, rakyat mereka cukup yakin bahawa kehidupan mesti dijalankan seperti biasa, dengan vaksin 2 dos dan dos penggalak, mereka yakin ia dapat mengawal dari jangkitan yang kronik dan kritikal,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd. Razlan berkata, kesedaran, keyakinan dan amanah pada diri untuk membendung jangkitan Covid-19 amat diperlukan ketika ini.
Katanya, ini kerana sampai bila semua pihak mahu melanjutkan pemakaian gelang pink atau putih, kemaskini aplikasi MySejahtera dan memeriksa suhu badan setiap kali memasuki banggunan atau melakukan perjalanan keluar rumah.
“Semuanya terpulang kepada tindakan kita dan kerajaan untuk mendidik dan mempercayai setiap rakyat Malaysia.
“Dunia luar sudah lama membuka pintu negara mereka, adakah kita masih lagi akan terus dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, peraturan yang mengawal pergerakan kita?
“Adaptasilah cara yang baik yang digunakan diluar negara untuk kesejahteraan bersama,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE










