KULAI: Keputusan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dibuat secara peribadi oleh UMNO tanpa mendapat persetujuan gabungan parti yang membentuk kerajaan negeri sedia ada.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Mohd. Solihan Badri berkata, parti berkenaan atau Pas tidak pernah dibawa berbincang berhubung perkara tersebut sebelum ini.
“Ya, (kehendak UMNO). Saya tidak pasti sama ada perlu dapat persetujuan parti (yang membentuk kerajaan) atau tidak, tapi memang tiada minta pandangan kami, sama ada daripada Bersatu atau Pas.
“Dalam mesyuarat khas Exco semalam, ada beberapa perkara antaranya memaklumkan mengenai pembubaran. Kami juga tidak diberi ruang sebagai Exco, mungkin beliau dalam keadaan hendak cepat.
“Jadi kami tiada beri komen apa-apa, sepatutnya jika diberi ruang mungkin kami boleh ucapkan terima kasih kerana pernah bekerjasama dalam satu pasukan,” katanya sambil memaklumkan mesyuarat berkenaan berlangsung selama kira-kira 20 minit sahaja.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Musim Perayaan Tahun Baru Cina di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) di Senai, di sini hari ini.
Mohd. Solihan turut memberitahu, Menteri Besar juga kelihatan tidak ceria seperti kebiasaan ketika beliau mempengerusikan majlis mesyuarat kerajaan negeri.
“Menteri Besar tidak nampak ‘happy‘ semalam, tidak seperti biasa. Jadi saya tidak tahu mungkin beliau berada di bawah tekanan kerana beliau juga perlu bertanding dan adakah jaminan akan menang dan dilantik semula,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Solihan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang berkata, Bersatu Johor sedia menyahut cabaran dan yakin mampu menubuhkan kerajaan negeri Perikatan Nasional (PN) dalam PRN akan datang.
“Kami sudah sedia, jentera Bersatu di kesemua 26 bahagian telah ditubuhkan sejak tahun lepas dan kita juga sudah lantik jawatankuasa setiap biro, bahagian, Parlimen, DUN dan pusat daerah mengundi (PDM).
“Perbincangan berhubung pembahagian kerusi bersama parti komponen juga sudah dimulakan tetapi masih belum dimuktamad,” jelasnya.