PETALING JAYA: Ulama terkemuka negara, Datuk Dr. Sheikh Muhammad Fuad Kamaludin meraih pengiktirafan tertinggi selepas berjaya membentangkan tesis Doktor Falsafah (PhD) di Fakulti Sastera dan Sains Kemanusiaan, Universiti Mohammed V, Rabat, Maghribi.
Beliau yang juga pemimpin Tarekat Ahmadiah Idrisiah di Asia Tenggara dan Pengerusi Kolej Islam As Sofadi Malaysia membentangkan tesis bertajuk Imam Ahmad bin Idris al-Maghribi dan Usahanya Dalam Ilmu Islam serta Penyebaran Nilai-nilai Tasawuf: Satu Kajian Kritikal baru-baru ini.
Memetik laporan portal berbahasa Arab, Di9a.com, kajian tersebut mengetengahkan asas ilmiah yang kukuh melalui gabungan pendekatan akademik tradisional dengan pengalaman rohani, selain analisis mendalam terhadap pemikiran, sumbangan serta pengaruh Imam Ahmad bin Idris al-Maghribi sebagai tokoh sufi terkemuka dari Maghribi.
“Tesis berkenaan turut memberi penekanan kepada peranan Imam Ahmad bin Idris dalam perkembangan ilmu Islam serta penyebaran nilai-nilai tasawuf yang memberi kesan signifikan kepada tradisi keilmuan Islam di rantau Afrika Utara dan dunia Islam secara keseluruhan.
“Kejayaan itu sekali gus mengukuhkan kedudukan Dato’ Dr. Sheikh Muhammad Fuad Kamaludin sebagai tokoh ilmuwan Islam yang disegani, selain memperlihatkan sumbangan akademik beliau di peringkat antarabangsa,” katanya.
Pembentangan secara viva voce yang berlangsung hampir tiga jam tersebut memperlihatkan keteguhan metodologi, keberanian akademik serta dedikasi beliau dalam meneliti fakta kehidupan dan pemikiran Imam Ahmad Idris dengan penuh amanah.
Sesi perbincangan diketuai oleh Dekan Fakulti, Dr. Zakarya Bourhim, bersama beberapa tenaga pengajar pakar yang memuji ketelitian metodologi, analisis yang mendalam dengan nilai tambah penyelidikan Muhammad Fuad.
Dalam pada itu, panel penilai turut menyatakan kekaguman terhadap usaha membuka ruang kajian terhadap tokoh ulama besar Maghribi yang berpengaruh di Asia, namun kurang dikenali di tanah kelahirannya sendiri.
Sebagai pengiktirafan tertinggi, tesis berkenaan dianugerahkan penilaian Musyarraf Jiddan serta disyorkan untuk dicetak dan diterjemahkan ke enam bahasa utama dunia iaitu Bahasa Inggeris, Perancis, Itali, Sepanyol, Portugis dan Jerman bagi memperluaskan manfaatnya di peringkat antarabangsa. – UTUSAN








