PETALING JAYA: Sebanyak 123 graduan ijazah doktor falsafah (PhD) City University Malaysia (CityU) berjaya menamatkan pengajian dalam Majlis Konvokesyen Sabtu lalu.
Pengarah Urusannya, Rohaidah Shaari berkata, graduan terbabit merupakan sebahagian 1,165 pelajar program pascasiswazah yang menerima sijil dalam majlis konvokesyen tahun ini.
Katanya, ia sekali gus menjadi sejarah bagi institusi yang ditubuhkan pada 1984 dengan mencatatkan jumlah pelajar PhD paling ramai.
“Graduan ini terdiri daripada 65 orang pelajar Phd Pendidikan, 33 orang pelajar PhD Pentadbiran Perniagaan dan 18 orang pelajar PhD Rekabentuk, empat pelajar Phd Teknologi Maklumat, dan tiga pelajar PhD Pentadbiran Perniagaan selain turut meraikan 1,042 graduan Sarjana.
“CityU juga menganugerahkan 30 Anugerah Dekan kepada graduan cemerlang dam berbangga apabila graduan-graduan yang kita lahirkan terdiri daripada 30 buah negara antarabangsa antaranya Perancis, Rusia, Saudi Arabia dan China” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Rohaidah berkata, CityU komited dalam melahirkan graduan yang berkualiti seiring dengan kedudukan kebolehpasaran graduan CityU di pasaran Malaysia.
“Berdasarkan Kajian Pengesanan Graduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi 2023, CityU telah mencapai kadar kebolehpasaran graduan yang luar biasa sebanyak 99 peratus menjadikan kami antara institusi terkemuka di negara ini.
“Kadar kebolehpasaran yang tinggi bukan sahaja mampu menjamin kualiti pendidikan di CityU malah ia turut memenuhi permintaan majikan di pasaran industri kini,” jelasnya.
Rohaidah turut memberitahu, pembukaan kampus baharu di Cyberjaya akan mula beroperasi dalam masa terdekat.
Kampus baharu yang dilengkapi dengan fasiliti berteknologi tinggi ini dapat memberikan keselesaan kepada para pelajar sekaligus mampu menjadikan CityU antara institusi pendidikan terbaik di rantau Asia. – UTUSAN








