Bot penambang karam di Jeram Panjang, Sungai Tembeling, tiga sukarelawan APM terselamat - Utusan Malaysia

Bot penambang karam di Jeram Panjang, Sungai Tembeling, tiga sukarelawan APM terselamat

ROSLAN ABU KASSIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Hasrat murni untuk membantu penduduk Orang Asli etnik Bateq yang terputus bekalan makanan bertukar tragedi apabila bot penambang dinaiki tiga sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) karam di Jeram Panjang, Sungai Tembeling berdekatan Taman Negara Kuala Tahan dekat sini hari ini.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, tiga sukarelawan tersebut berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tepi sungai.

Sukarelawan terbabit, Roslan Abu Kassim, 58, dan Ahmad Turmizi Abu Kassim, 52, yang merupakan pemandu bot penambang, manakala seorang lagi rakan mereka, Belandak Bajak, 28, merupakan Orang Asli etnik Bateq Kampung Kuala Atok, Kuala Tahan.

Ketua Polis Jerantut, Superintenden Mazlan Hassan berkata, ketika kejadian tersebut, bot penambang milik Roslan dalam misi menghantar bantuan bekalan makanan ke perkampungan Orang Asli etnik Bateq Kampung Aur juga dalam kawasan Taman Negara.

“Semasa melalui Jeram Panjang, Sungai Tembeling bot penambang yang mereka naiki telah dipukul arus deras sehingga karam.

“Bagaimanapun sukarelawan APM tersebut berjaya menyelamatkan diri dan berenang ke tempat yang lebih selamat dan tidak melibatkan kecederaan serta kemalangan jiwa,” katanya di IPD Jerantut di sini petang ini.

Menurut Mazlan, kejadian itu juga menyebabkan kerosakan apabila badan bot pecah dan kesemua barang muatan musnah dan hilang dibawa arus sungai Sungai Tembeling.

Beliau berkata, tiga orang sukarelawan kemudiannya diberi bantuan oleh anggota Pondok Polis Kuala Tahan, Lans Koperal Aizat Syafin, ahli Jawatankuasa Pembangunan Kemajuan Kampung (JPKK) Kuala Tahan serta 10 orang penduduk dengan dengan menggunakan empat buah bot penambang.

“Tiga sukarelawan APM ini dibawa pulang ke Kampung Kuala Tahan dalam keadaan selamat,” katanya.

Menurutnya, dalam tempoh musim tengkujuh ini kakitangan kerajaan daerah ini dan sukarelawan APM Kuala Tahan kerap menghantar bantuan barang makanan kepada penduduk Orang Asli etnik Bateq di beberapa buah kampung pesisir Sungai Tembeling yang terputus keperluan harian.

“Polis memuji usaha murni sukarelawan APM Kuala Tahan dan kakitangan kerajaan di sini mengantar bantuan berkenaan walaupun berdepan risiko keselamatan pada waktu musim tengkujuh ini.

“Namun perlu berwaspada ketika melalui kawasan jeram berbatu dan arus deras Sungai Tembeling bagi mengelakkan kejadian bot karam atau kemalangan tertentu pada masa akan datang,” jelasnya.

Sementara itu, Roslan yang juga Pengerusi Bird Group Taman Negara, berkata, dia tidak menduga kejadian itu boleh berlalu kerana sudah banyak kali bot penambang melalui kawasan Jeram Panjang ketika musim banjir untuk menghantar bantuan kepada penduduk Orang Asli etnik Bateq.

“Ketika sampai di tengah jeram, bot yang kami naiki sarat dengan muatan berhadapan dengan arus sungai serta dipukul ombak yang kuat lalu karam.

“Kami bersyukur kerana selamat dalam kejadian ini dan tidak serik untuk meneruskan kerja sukarela berkhidmat membantu penduduk Orang Asli dan mangsa banjir pada masa akan datang,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN