Bot PATI karam : Gadai nyawa guna bot kayu ke Malaysia - Utusan Malaysia

Bot PATI karam : Gadai nyawa guna bot kayu ke Malaysia

Nurul Hizam (kanan) pada sidang media di Pos Hadapan Carilamat Zon Maritim Tanjung Sedili di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pengerang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI :  Tiga lagi mayat disyaki Pendatang Asing Tanpa Izin ( PATI) warga Indonesia yang terlibat kejadian bot karam di perairan Teluk Ramunia awal pagi tadi dijumpai kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kesemua mayat wanita itu ditemui pada pukul 7.30 pagi dalam keadaan lengkap berpakaian sekali gus menjadikan baki mangsa maut kini lima orang, manakala tiga lagi masih hilang.

Katanya,  kesemua 27 PATI itu dipercayai dalam perjalanan dari Tanjung Tondang Pulau Bintan, Indonesia menggunakan bot kayu sepanjang 45 kaki dan disyaki hendak mendarat di kawasan sekitar perairan Teluk Ramunia namun berjaya dikesan pihak berkuasa.

“Bot dari Indonesia itu dilapor karam kira-kira satu batu nautika dari Teluk Ramunia. Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Maritim telah mengesan pergerakan bot mencurigakan membawa PATI dan dipercayai pergerakan bot itu dari Tanjung Tondang, Pulau Bintan Indonesia. 

“Bot kayu sepanjang 15 meter atau 45 kaki  bewarna coklat tiga enjin dengan berkuasa sepenuhnya 600 kuasa kuda karam disebabkan keadaan cuaca selain berkemungkinan juga kerana menggunakan kelajuan maksimum.

“Dengan jumlah penumpang yang ramai,  bot berkenaan dipercayai tidak dapat mengawal kestabilan menyebabkan ia karam.

“Semua mangsa selamat ditemukan dalam keadaan terapung di laut sebelum diselamatkan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),” katanya pada sidang media di Pos Hadapan Carilamat Zon Maritim Tanjung Sedili di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pengerang hari ini.

Katanya siasatan awal mendapati kesemua PATI berkenaan dianggarkan berusia 20 hingga 40 tahun.

Jelasnya kesemua 19 mangsa yang terselamat dibawa ke Pos Tanjung Sepang untuk siasatan lanjut manakala mayat dihantar ke Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk bedah siasat.

Tambahnya, sektor pencarian baki mangsa melibatkan keluasan 50 batu nautika di kawasan laut manakala pencarian di darat melibatkan 20 kilometer di persisiran kawasan pantai dari Tanjung Penyusup ke pos maritim Pengerang. 

“Kejadian ini adalah cubaan ketiga melibatkan PATI yang cuba memasuki perairan negara melalui jalan tidak sah dan kedua yang melibatkan bot karam. Dengan jumlah kematian di Pontian enam orang dan di sini lima orang setakat ini

“Mereka berkemungkinan hendak mendarat di kawasan sekitar Teluk Ramunia kerana faktor jarak yang dekat. Jarak Pulau Bintan ke sini 11 batu nautika anggaran 20 kilometer jaraknya. 

“Sempadan dari Malaysia Indonesia lebih kurang enam batu dan hanya mengambil masa dianggarkan setengah jam sahaja untuk sampai dengan kelajuan yang ada,”katanya lagi.

Nurul Hizam turut memberi peringatan kepada sindiket menjalankan penyeludupan PATI agar berhenti menjadi ‘pembunuh’ dengan merisikokan nyawa orang yang berhak hidup. 

Beliau juga meminta kerjasama komuniti maritim agar menyalurkan maklumat sekiranya melihat aktiviti penyeludupan PATI.

“Saya juga ingatkan kapal dagang yang melalui perairan negeri Johor agar selalu alert jika terjumpa mangsa terlibat kejadian bot karam supaya kongsi maklumat dengan pihak Maritim,”katanya lagi.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN