LUMUT: Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak akan meningkatkan pemantauan di kawasan Pantai Teluk Nipah, Pulau Pangkor bulan depan khususnya ketika fenomena air surut yang membolehkan orang ramai berjalan kaki dari pantai tersebut ke Pulau Giam.
Ia kerana sebelum ini, hampir setiap tahun sering berlaku insiden tidak diingini melibatkan pelancong sama ada lemas atau terperangkap di Pulau Giam yang terletak kira-kira 400 meter dari Pantai Teluk Nipah.
Ketua Zon 3 JBPM Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya akan menempatkan dua bot terdiri daripada enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) di kawasan perairan serta pasukan penyelamat di permukaan air di kawasan pantai.
“Kami mendapat maklumat daripada Jabatan Laut mengenai fenomena ini yang berlaku pada minggu kedua Februari setiap tahun dan sering dinantikan pelancong untuk berjalan kaki ke Pulau Giam.
“Kita menyokong sektor pelancongan dan kehadiran ramai pelancong ke Pulau Pangkor tetapi menasihatkan pengunjung untuk sentiasa mengambil tahu jadual pasang surut air laut dan memakai jaket keselamatan atau alat pelampung jika mahu berjalan kaki ke Pulau Giam,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Manjung mengadakan pemeriksaan di Pasar Raya Billion Seri Manjung sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Seri Manjung hari ini.
Yang turut hadir, Ketua BBP Seri Manjung, Suhaimy Mohd Suhail.
Fenomena air surut yang membolehkan orang ramai berjalan kaki dari Teluk Nipah ke Pulau Giam berlaku sekali atau dua kali dalam setahun khususnya awal tahun dan sering kebetulan terjadi ketika cuti Tahun Baharu Cina menyebabkan ia sering menjadi tumpuan pelancong.
Bagaimanapun, fenomena air surut itu hanya berlaku dalam tempoh singkat iaitu kira-kira dua jam pada waktu tengah hari menyebabkan ada yang lemas ketika berjalan semasa air pasang semula atau terperangkap di Pulau Giam yang berkeluasan 2.1 hektar itu.
Pada 2020, seorang remaja berusia 17 tahun lemas apabila terperangkap di tengah laut selepas air mulai pasang ketika berjalan pulang dari Pulau Giam manakala pada 2018, seorang lelaki lemas ketika berenang ke pulau tersebut.
Dalam pada itu, Shazlean berkata sebanyak 318 premis di daerah Manjung dan Perak Tengah diperiksa sepanjang tahun lalu dengan 80 premis daripadanya diberi notis manakala lima premis dikenakan tindakan undang-undang.
Jelasnya, pemeriksaan keselamatan itu dilakukan terhadap tiga perkara penting iaitu keberadaan alat pemadam kebakaran termasuk gegelung hos, pili bomba dan penyembur (sprinkler).
Kedua, memeriksa laluan kecemasan jika berlaku kebakaran seterusnya pemeriksaan bagi memastikan barangan atau peralatan tidak menghalang peralatan memadam api.
Tegas beliau, premis yang diberi notis ialah kerana beberapa perkara seperti alat pemadam api sudah luput tempoh serta laluan kecemasan yang tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) manakala premis yang dikenakan tindakan undang-undang apabila terus berdegil dan tidak menghiraukan sehingga dua kali notis dikeluarkan.
Shazlean menjelaskan sasaran pihaknya tahun ini ialah melakukan pemeriksaan terhadap sekurang-kurangnya 510 premis dengan pemeriksaan dilakukan setiap bulan. – UTUSAN ONLINE